suria

Debaran Piala Dunia 2022 kian terasa... Ini ‘hotel terapung’ serba mewah dan eksklusif buat peminat bola sepak di Qatar

Kapal MSC World Europa akan berlayar ke Qatar sempena Piala Dunia 2022. foto MSC Cruises

DEBARAN Piala Dunia 2022 yang dijadualkan berlangsung pada akhir tahun ini semakin terasa.

Tuan rumah, Qatar nampaknya semakin rancak membuat persiapan sempena temasya sukan bola sepak itu.

Dalam keterujaan itu, warga dunia turut bersiap sedia untuk menyaksikan acara utama yang dinanti-nantikan dijadualkan berlangsung pada 21 November hingga 18 Disember ini.

MSC World Europa 8

Kapal persiaran yang boleh membawa seramai 6,762 penumpang.

Ini termasuk kapal persiaran mewah generasi baharu bernilai 1 bilion euro (RM4.4 bilion) untuk peminat bola sepak di Piala Dunia 2022 di Qatar pada musim sejuk ini.

Dinamakan sebagai MSC World Europa, kapal ini sedang disiapkan di limbungan kapal Chantiers de l'Atlantique di Saint-Nazaire, berhampiran Nantes, Perancis, dan pada Oktober ini akan belayar ke ibu negara tuan rumah, Doha sebagai 'hotel terapung' buat para peminat bola sepak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelayaran sulung Mac 2022... Kapal persiaran terbesar dunia bawa 6,988 tetamu memang sempoi, ruang rock climbing pun ada!

Peminat dari negara itu boleh memilih pakej penginapan dalam dalam kapal seberat 205,700 tan di mana mereka akan menikmati reka bentuk bandar yang diilhamkan secara global dan pengalaman tetamu yang mengasyikkan.

MSC World Europa 3

Galleria dengan siling LED.

Berikut adalah butiran mengenai MSC World Europa:

1. Kapal gergasi ini mempunyai 22 dek boleh membawa seramai 6,762 penumpang.

2. Bertaraf dunia, seramai sehingga 2,000 pekerja akan bertugas setiap masa di atas kapal.

3. Persiaran sepanjang 643 kaki dengan kabin balkoni dan gelongsor setinggi 11 dek yang dinamakan Venom Drop@The Spiral untuk turun dari tingkat atas ke tingkat bawah.

MSC World Europa 2

Gelongsor setinggi 11 dek.

4. Di dalamnya pula Galleria berkeluasan 23,800 kaki persegi yang menampilkan siling kinetik LED, restoran dan bar, manakala kawasan Luna Park sesuai untuk perlumbaan dron di sebelah siang dan clubbing pada waktu malam.

5. Zon Sportplex akan menawarkan bola keranjang, kereta bumper, roller disco dan banyak lagi, manakala ruang istirahat Panorama akan diadakan pertunjukan yang mengasyikkan dengan imej yang dipancarkan ke skrin.

6. Dilengkapi dengan tujuh kolam renang di sepanjang kapal.

MSC World Europa 7

Salah satu kolam renang di MSC World Europa.

7. Terdapat 13 tempat makan termasuk citarasa Jepun, Mexico dan stik yang terdiri daripada hidangan santai hingga mewah.

8. Secara keseluruhan, MSC World Europa mempunyai 2,626 kabin dengan 18 kategori yang berbeza. Setiap penginapan mengikut citarasa pasangan, keluarga dan tetamu lain.

MSC World Europa 6

Dekorasi salah satu restoran yang menyediakan sajian buat tetamu.

9. World Europa adalah sebahagian daripada misi MSC untuk sifar pelepasan karbon menjelang 2050 dan akan mempunyai jejak karbon terendah bagi setiap penumpang daripada mana-mana kapal persiaran.

10. Sebagai kapal berkuasa gas asli cecair (LNG) pertama dalam armada, bahan api marin yang lebih bersih ditetapkan untuk memainkan peranan penting bagi menyokong dalam matlamat penyahkarbonan.

MSC World Europa 5

Bilik penginapan mengikut citarasa pasangan, keluarga dan tetamu lain.

Selain itu, sistem pengurusan hingar bawah air akan mengurangkan sebarang potensi bunyi dan kesan getaran pada mamalia marin di sekitar kapal.

Kapal ini akan berlabuh di Terminal Besar Doha, hanya beberapa minit dengan bas ulang-alik ke kawasan tumpuan pelancong utama seperti Souq Waqif dan Muzium Kesenian Islam.

Maklumat lanjut mengenai MSC World Europa, layari MSC Cruises.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain