suria

Si kembar licik! Dua beradik tukar pasport, identiti untuk ke luar negara lebih 30 kali

Pasangan kembar Zhou menukar pasport masing-masing untuk ke luar negara. foto Zhang Peng / Getty Images

"BUKU merah jangan lupa bawa, moga-moga belum tamat tempoh. Kali ini kita pergi lebih lama, lebih jauh."

Begitulah 'buku merah' yang dimaksudkan dalam lagu sebagai pasport yang perlu dibawa untuk ke luar negara.

Namun begitu, lain pula yang berlaku di China apabila sepasang adik-beradik kembar menukar pasport dan identiti mereka apabila ke luar negara.

Bukan sekali, tetapi kegiatan itu dilakukan lebih 30 kali!

Memetik laporan Harbin Daily, adik-beradik perempuan Zhou itu berasal dari bandar Harbin di utara China.

Semuanya bermula apabila salah seorang pasangan kembar, Hong (bukan nama sebenar) mahu ke Jepun bersama suaminya yang merupakan warga negara itu.

Malangnya, permohonan visa Hong untuk ke negara matahari terbit itu berulang kali ditolak.

Bagaimanapun, kembar Hong iaitu Wei (juga bukan nama sebenar) merupakan pemegang visa Jepun yang sah.

Mengambil kesempatan atas penampilan mereka yang serupa, Hong memutuskan untuk meminjam pasport Wei untuk ke Jepun.

pasport kembar 2

Salah seorang pasangan kembar menukar pasport untuk ke Jepun.

Bukan sekadar ke Jepun, Hong kemudian menggunakan cara sama untuk melakukan perjalanan antara China, Jepun dan Rusia sekurang-kurangnya 30 kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Alasan Pelik Hilang Pasport Didedah

Sementara itu, Wei juga menggunakan pasport Hong untuk melancong ke Thailand dan negara-negara lain sebanyak empat kali.

Kegiatan penipuan pasangan kembar itu akhirnya dihidu pihak berkuasa meskipun tidak dijelaskan bagaimana muslihat mereka terbongkar.

Dilaporkan, kedua-dua beradik itu kembali ke China pada Mei lalu.

Menurut kenyataan polis, pasangan kembar itu kini ditahan polis dan sedang disiasat.

Kisah pasangan kembar ini menjadi perhatian di media sosial China pada minggu ini dengan tanda pagar (hashtag) 'kembar tukar identiti dan ke luar negara lebih 30 kali', sehingga meraih lebih 360 juta views di platform media sosial Weibo.

Seperti dalam filem, segelintir pengguna Weibo kagum dengan kelicikan pasangan kembar itu menipu pegawai imigresen banyak kali.

Selain itu, ramai turut mempersoalkan kelemahan pemeriksaan cap jari di pintu sempadan.

"Teknologi yang paling canggih pun gagal untuk mengesan penipuan mereka. mendedahkan perkara ini. Sukar dipercayai," komen seorang pengguna. - Insider

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain