Nak berkelah cuti sekolah ini? Selangor ada 5 air terjun sesuai untuk aktiviti riadah sekeluarga - Destinasi | mStar

Nak berkelah cuti sekolah ini? Selangor ada 5 air terjun sesuai untuk aktiviti riadah sekeluarga

Kanak-kanak sedang bermandi-manda di Sungai Tekala di Semenyih. Foto AZHAR MAHFOF

CUTI sekolah panjang ketika ini pasti ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan untuk membawa keluarga mereka melakukan aktiviti riadah.

Bagi yang menetap di Lembah Klang dan terikat dengan pelbagai komitmen di pejabat, apa kata bawa keluarga anda berkelah dan bermandi-manda di sungai pada hujung minggu.

Jika masih tidak tahu mahu berkunjung ke mana, Tourism Selangor menyenaraikan lima kawasan air terjun terbaik dan indah di negeri ini yang mungkin menarik minat anda.

Hutan Rekreasi Sungai Tekala jadi tumpuan pengunjung. 

1. Sungai Tekala

Terletak di daerah Hulu Langat yang terletak kira-kira 50km dari Kuala Lumpur, Sungai Tekala antara yang patut dikunjungi.

Bukan sahaja air sungainya yang bersih dan sejuk, kawasannya juga penuh dengan kehijauan dan cukup menenangkan.

Dibuka kepada orang ramai sejak 1982, Hutan Rekreasi Sungai Tekala adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Sungai Lalang yang kemudiannya menjadi sebahagian Taman Warisan Negeri Selangor.

Jika ada yang bercadang untuk bermalam di situ, anda boleh menyewa chalet atau membayar yuran minimum untuk mendirikan khemah di tapak yang disediakan.

Kawasan ini juga mempunyai kemudahan seperti gerai makanan, bilik solat, bilik air dan tandas.

Yuran kemasukan : RM2 untuk dewasa, RM1 untuk kanak-kanak.

Sungai Kanching tidak jauh dari ibu kota. 

2. Sungai Kanching

Rumah kepada air terjun tujuh tingkat  dan memang berbaloi untuk Instagram anda, hutan hujan Kanching antara lokasi yang pasti membuatkan anda terpegun.

Terletak di antara Rawang dan Kuala Lumpur, Kanching dikelilingi oleh hutan dan dedaun hijau yang indah. Paling penting, air terjun tujuh tingkat yang mengagumkan menjadikan lokasi ini cukup hebat sebagai tempat berehat selepas lima hari sibuk di pejabat.

Kawasan ini sangat dekat dengan kawasan bandar jadi jangan terkejut jika ramai pengunjung terutamanya pada musim cuti sekolah.

Pun begitu, ia adalah kawasan paling sesuai untuk berkhemah, berenang, beriadah bersama keluarga dan aktiviti berjalan kaki dalam hutan!

Di sepanjang trek ketika berjalan dalam hutan, pelawat boleh melihat sendiri pelbagai jenis flora yang unik namun berhati-hati dengan kehadiran sang monyet!

Mereka cenderung untuk bertindak liar terutamanya jika melihat anda membawa makanan. (Paling baik jangan bawa makanan atau memberi mereka makanan).

Yuran kemasukan: RM1 (setiap orang), RM2 (setiap kereta).

Air terjun Lata Medang cukup menakjubkan.

3. Lata Medang

Air terjun Lata Medang terletak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Baru dan bersebelahan dengan perkampungan Orang Asli, yang juga patut dikunjungi.

Untuk sampai ke kaki air terjun yang mengagumkan, pengunjung perlu mendaki bukit namun perjalanannya tidak sukar.

Rasa lelah ketika mendaki bukit barangkali tidak terasa apabila melihat kehijauan di kawasan sekitar yang akan membuatkan anda umpama berada di dunia kecil anda sendiri.

Air terjun Lata Medang adalah antara keajaiban yang membuatkan anda mengucap kesyukuran atas kebesaran ciptaan Tuhan.

Sinar cahaya matahari yang mengintai melalui pokok-pokok di sekeliling dan dari atas air terjun membuatkan kawasan itu cukup indah.

Yuran kemasukan : RM1 (setiap orang)

Laluan untuk ke Air Terjun Sungai Pisang.

4. Air Terjun Sungai Pisang

Pada  yang sukakan cabaran, Air Terjun Sungai Pisang yang terletak di Lebuhraya Karak juga adalah destinasi yang patut anda kunjung.

Anda perlu menggembara selama sejam melalui hutan berusia 100 tahun sebelum anda dapat melihat air terjun yang tersergam indah.

Tapi perjalanan selama sejam itu tidak akan rasa bosan kerana pandangan anda akan 'sibuk' melihat pemandangan, bunyi dan bau alam yang menyegarkan.

Jika berasa letih, singgah di spa ikan semula jadi ketika menyeberangi sungai!

Tetapi sekiranya anda ingin menggembara ke Sungai Pisang, pastikan keluarga, rakan-rakan termasuk Jabatan Perhutanan dimaklumkan tentang rancangan anda.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Sungai Chilling.

5. Sungai Chiling

Pada yang tidak tahu, Sungai Chiling disifatkan sebagai kawasan luar biasa dan menarik di Selangor yang terletak di Taman Warisan Negeri Selangor.

Untuk sampai ke kawasan air terjun, pengunjung perlu berjalan kaki selama sejam melalui hutan namun jangan risau kerana trek pendakian tidak sukar.

Sebelum tiba di air terjun, pejalan kaki perlu menyeberangi Sungai Chiling beberapa kali namun itu adalah kesempatan untuk anda segarkan kaki.

Air terjunnya pula terkenal dengan pancuran luar biasa kerana kedudukannya yang menjunam, memukul sungai yang tenang di bawah.

Terdapat tiga peringkat ke air terjun Chiling namun hanya tingkat pertama dibuka kepada orang ramai.

NOTA PENTING

Ambil perhatian bahawa Jabatan Perhutanan Selangor baru-baru ini mengeluarkan arahan bahawa semua rizab hutan tetap di negeri ini ditutup dari 1 November hingga 31 Januari 2020.

Jejak hutan, laluan dan semua kemudahan akan ditutup kepada orang ramai dalam tempoh ini. Jika anda tidak pasti sama ada taman atau hutan yang anda merancang untuk dikunjungi termasuk dalam larangan ini, hubungi Jabatan Perhutanan di 03-5544 7498 atau lawati https://www.forestry.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Jabatan Perhutanan Perak juga telah mengeluarkan arahan yang sama; semua aktiviti mendaki akan dihentikan pada tempoh yang sama.