Aplikasi XTVT ciptaan anak tempatan bantu pelancong terokai Malaysia - Destinasi | mStar

Aplikasi XTVT ciptaan anak tempatan bantu pelancong terokai Malaysia

Aplikasi XVT boleh dimuatnaik menerusi secara percuma.

ABDUL Muizz Mohammad Khuzaini bersama tujuh rakannya membangunkan sebuah aplikasi secara percuma untuk memudahkan pelancong menerokai Malaysia.

Dikenali sebagai XTVT, aplikasi berasaskan lokasi membolehkan pengguna mengetahui aktiviti dan landmark berdekatan sekali gus membantu mereka sampai ke destinasi ditujui dengan tepat dan pantas.

Abdul Muizz yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CiEdge Adventure berkata mereka berkerjasama membangunkan aplikasi itu pada awal tahun ini.

"Aplikasi itu sudah dimuat turun sebanyak 15,000 kali dalam tempoh tiga bulan," katanya semasa majlis pelancaran aplikasi itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Laman e-brosur buat pemerhati burung tawar pelbagai aktiviti, info sempena VM2020

Aplikasi itu menawarkan lebih 700 lokasi dan aktiviti dalam 12 kategori merangkumi budaya, alam sekitar, makanan, gua, selam skuba, pendakian, pantai, pusat membeli-belah, muzium, galeri, taman tema, taman awam dan trail.

"Terdapat banyak tempat menarik yang tidak diketahui ramai di Malaysia. Itulah sebabnya kami membangunkan aplikasi itu," katanya.

Aplikasi itu juga membolehkan pengguna menghantar butiran tempat dan aktiviti menarik sekitar mereka.

Pelancong boleh menerokai destinasi menarik dalam negara dengan aplikasi XTVT.

"Dengan cara itu, semua orang boleh menjadi sebahagian daripada komuniti pelancongan yang berkembang ini," katanya.

Malah pemuda berusia 31 tahun itu menjelaskan, aplikasi itu juga membolehkan pengguna menyimpan lokasi dan aktiviti kegemaran serta berkongsi dengan pengguna lain.

Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh bekerjasama dengan pengendali aktiviti dan homestay bagi membolehkan mereka membeli tiket dan menempah penginapan.

"Ini adalah cara bagaimana kita boleh menyumbang kepada industri dan mengembangkan ekonomi," katanya.

Terdapat rancangan untuk meningkatkan jumlah lokasi dan aktiviti menarik menjelang penghujung 2020 dan memasukkan keupayaan VR (realiti maya) di mana pengguna boleh melakukan pratonton 360 darjah di sesuatu lokasi.

"Banyak tempat di Malaysia mempunyai nama tempat yang tidak begitu dikenali pelancong, menjadikannya lebih sukar bagi mereka untuk memahami sejarahnya.

"Jadi pengalaman VR bertujuan untuk membantu mereka merasai sendiri pengalaman sebelum pergi ke sana," katanya.

Aplikasi XTVT dibangunkan anak muda tempatan bagi mengetengahkan lokasi yang tidak diketahui ramai.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang merasmikan pelancaran itu berkata Malaysia menerima 13.35 juta pelancong dan mencatat pertumbuhan 6.8 peratus pada separuh pertama 2020, menyumbang RM41.69 bilion kepada ekonomi.

Beliau turut meluahkan rasa bangga apabila melihat anak muda Malaysia memanfaatkan pasaran dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Sasaran kami untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah 30 juta pelancong. Gembira melihat golongan muda maju dan melakukan bahagian mereka untuk industri pelancongan dan ekonomi negara," katanya.

XTVT , aplikasi percuma , VM2020

Artikel Berkaitan