suria

Bukan sekadar bandar sibuk dan ‘gila’, Hanoi tersenarai 7 destinasi terbaik di Asia untuk pengembara solo

Landasan kereta api di Hanoi berada di celah-celah lorong rumah dan kedai.

HANOI menduduki ranking kelima daripada tujuh destinasi terbaik untuk pengembara solo anjuran laman sesawang pelancongan Itali, Bigseventravel, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Laman sesawang itu menggambarkan Hanoi sebagai sebuah bandar yang sibuk, 'gila' dan sering mengelirukan selain popular bagi ramai pengembara di seluruh dunia.

“Dari pasar makanan jalanan sehinggalah muzium kebudayaan dan tasik air tawar yang memukau, Hanoi mempunyai sesuatu untuk semua cita rasa.”

Hanoi adalah sebuah pangkalan yang indah untuk meneroka bahagian utara Vietnam, termasuk tapak warisan asli dunia Teluk Ha Long di timur laut wilayah Quang Ninh dan bandar bagi pusat peranginan popular Sa Pa di utara kawasan pergunungan wilayah Lao Cai, menurut laman sesawang itu.

Pengunjung juga boleh menikmati keselesaan sebuah bandar moden yang bertenaga, menurutnya.

Pasar terapung wajib dikunjung ketika berkunjung ke Hanoi.

Tokyo (Jepun) mengungguli senarai itu diikuti Bali (Indonesia), Singapura dan Seoul (Korea Selatan).

Siem Reap (Kemboja) dan Chiang Mai (Thailand) di tempat keenam dan ketujuh.

Hanoi menyambut ketibaan lebih 4.7 juta pelancong asing dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 10.1 peratus, menurut Jabatan Pelancongan perbandaran itu.

Ia telah dipilih bertanding bagi merebut gelaran sebagai Destinasi Bandar Terkemuka Dunia di Anugerah Pelancongan Dunia 2019 (WTA).

Tarikh akhir pengundian ialah 20 Okt menerusi laman sesawang WTA http://www.worldtravelawards.com/vote. - BERNAMA

Hanoi, pengembara solo

Artikel Lain