Terokai barat Australia dengan 'road trip', ini 5 lokasi menakjubkan yang patut anda kunjungi di Perth - Destinasi | mStar

Terokai barat Australia dengan 'road trip', ini 5 lokasi menakjubkan yang patut anda kunjungi di Perth

Percutian 'road trip' di Barat Australia menawarkan pelbagai keseronokan dan pemandangan semula jadi yang memukau.

RAMAI antara kita menggemari perjalanan 'road trip' kerana ia salah satu cara untuk merehatkan minda dengan melihat pemandangan alam sekeliling.

Ditemani muzik kegemaran dan laluan santai, tiada apa yang dapat menandingi perjalanan dikelilingi alam semula jadi memukau bersama keluarga atau rakan-rakan.

Pastinya barat Australia menawarkan laluan perjalanan 'road trip' merentasi lima daerah utamanya untuk percutian santai, baik secara berpasangan atau berkumpulan.

Untuk aktiviti ini, Perth hanya mengambil masa penerbangan selama lima jam dari Malaysia. Pengembaraan mencabar anda bermula sebaik sahaja anda melepasi balai ketibaan di lapangan terbang negara kangaroo itu.

Memandangkan begitu banyak perkhidmatan sewa kereta yang mampu milik ditawarkan di lapangan terbang Perth, anda boleh menikmati percutian epik dalam masa singkat!

Perjalanan 'road trip' biasanya lebih mencabar dan menyeronokkan.

Ini kerana pemanduan selama 11 hari pastinya menawarkan pelbagai pemandangan memukau yang bermula dan berakhir di Perth sekali gus dapat menenangkan minda dan menyegarkan badan anda.

Berikut adalah beberapa lokasi terkemuka wajib anda terokai semasa perjalanan 'road trip' di barat Australia.

1. Mendekati ikan lumba-lumba jinak di Bunbury

Melihat ikan lumba-lumba secara dekat adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan bagi sesiapa sahaja dari Malaysia. Jika anda menuju ke Bunbury anda antara yang bertuah. Bunbury yang mengambil masa dua jam perjalanan menggunakan kereta dari Perth merupakan lokasi wajib singgah. Di sana anda boleh berenang bersama haiwan mamalia tersebut.

Jangan lepaskan peluang melihat dari dekat ikan lumba-lumba jinak di Dolphin Discovery Centre.

Untuk mendekati haiwan jinak ini, teruskan pemanduan ke Dolphin Discovery Centre. Di sana anda boleh mengenali pelbagai jenis ikan lumba-lumba dan beberapa hidupan marin lain. Jika anda mahukan sesuatu yang lebih mencabar cuba pergi ke pantai Koombana Bay. Anda boleh melihat ikan lumba-lumba spesies hidung botol yang pintar dan mempunyai karakter unik.

2. Nikmati keindahan Margaret River

Terletak kira-kira sejam perjalanan dari Bunbury, Margaret River berkembang dari sebuah bandar sukan luncur air kepada destinasi pelancongan popular. Dikurniakan cuaca beriklim baik, ia destinasi yang wajib dikunjungi semasa berada di sini.

Lazimnya nama Margaret River pasti membawa pemikiran umum kepada wain dan ladang anggur.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Margaret River.

Namun siapa sangka kawasan ini memiliki pemandangan memukau selain menawarkan pelbagai aktiviti mencabar kepada pengunjungnya. Bagi penggemar sukan luncur air jadi apa tunggu lagi, jangan lepaskan peluang merasai pengalaman meluncur dalam ombak besar di sini.

Selain sukan luncur air yang popular di sini, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti menunggang kuda, menyelam dan snorkeling, berkayak, mendaki, bermain payung terjun serta mendaki batuan.

3. Berjalan di Laluan Kanopi (Tree Top Walk) di Walpole

Walpole adalah sebuah bandar menarik yang terletak hanya tiga jam dari Margaret River. Bagi penggemar alam semula jadi ia destinasi wajib dikunjungi. Selain memiliki taman negara yang luas, ia turut menawarkan tempat perkelahan yang cantik dan air sungai yang jernih.

Anda pasti terpukau dengan keindahan alam semula jadi di sekitarnya.

Lokasi ini sesuai untuk diterokai pelbagai peringkat umur. Keindahan sebenar Walpole dapat anda saksikan dengan mata kasar apabila anda berjalan kaki di atas laluan kanopi sepanjang 600 meter yang dibina di atas pokok berusia 400 tahun di Taman Negara Walpole-Nornalup.

4. Berenang di Greens Pool

Digambarkan sebagai kolam renang paling menarik, Greens Bay terletak di Taman Negara William Bay dan hanya memakan masa kurang sejam perjalanan dari Walpole. Sebaik tiba, anda seolah-olah disambut pemandangan air yang jernih dan pasir putih bersih sesuai untuk aktiviti snorkeling dan selam skuba.

Anda boleh melakukan aktiviti snorkeling dan selam skuba di sini.

Sebaik sahaja anda keluar dari permukaan air, anda boleh berjalan di sepanjang pesisir pantai sambil menikmati pemandangan Madfish Bay, Waterfall Beach. Jika anda berkunjung pada musim bunga, jangan lepaskan peluang bergambar bersama bunga liar yang tumbuh mekar di sana.

5. Nikmati alam semula jadi di Taman Negara Porongurup

Taman negara ini merupakan syurga bagi hidupan flora dan fauna unik di Australia termasuk lebih 100 spesies burung dan 750 jenis tumbuhan. Anda boleh sampai ke sini dengan pemanduan selama sejam dari Greens Pool. Ia juga merupakan rumah kepada Castle Rock Granite Skywalk yang menakjubkan.

Dibina sejak 1,100 juta tahun dahulu, ia juga menawarkan pengalaman mencabar kepada pengunjung yang diberi pilihan untuk melakukan pendakian batu pendek untuk sampai ke puncak beberapa meter terakhir laluan itu.

Taman negara juga merupakan habitat untuk pelbagai hidupan dan tumbuhan liar.

Taman negara ini juga merupakan salah satu tempat menarik di wilayah South West yang kaya dengan tumbuhan liar seperti Bluebells, Wattles, Hoveas, Banksia, Dryandras, Hakeas, Hrevilleas dan Orchid.

Dengan destinasi semula jadi popular menanti anda di sepanjang perjalanan itu, sudah tentu anda pulang ke tanah air dalam keadaan seronok dan minda yang tenang.

Untuk jadual perjalanan penuh sila layari laman web Tourism Western Australia di https://www.westernaustralia.com