suria

Terbang ke P.Pinang hanya untuk 'pekena' bufet durian, kini siap dengan pakej penginapan!

Pakej bufet durian kini disediakan dengan harga RM186 termasuk penginapan di hotel terpilih. Foto: The Star

MEREKA terbang ke Pulau Pinang hanya semata-mata kerana durian dan terbang pulang selepas berehat satu malam.

Terbaharu, pakej bufet durian yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia berharga RM186, termasuk penginapan satu malam di hotel yang terpilih.

Bagi rakyat Malaysia yang tidak mahu menginap di hotel, pakej tersebut ditawarkan dengan hanya RM66 seorang sahaja.

Ia antara usaha terbaharu Tourism Malaysia bagi menarik perhatian pelancong yang juga penggemar durian ke Pulau Pinang dan pastinya tidak akan merugikan wang anda!

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata pelancong dari Hong Kong dan China telah mula terbang ke Pulau Pinang hanya semata-mata untuk mendapatkan pakej bufet berkenaan.

Tarikan bufet durian ini mampu menarik perhatian pelancong dan sekali gus juga boleh menguntungkan pengusaha buah durian Musang King dan Black Thorn.

"Jangan terlalu obses dengan dua klon yang popular ini. Ada banyak jenis durian yang boleh kita dapat di Pulau Pinang," kata Muhammad Muhammad Bakhtiar.

Bulan lepas, seorang wanita dan rakannya membeli dua biji durian Black Thorn dan satu biji Musang King namun kecewa serta terkejut selepas dikenakan bayaran sebanyak RM937 sehingga kisah tersebut dikongsi di media sosial dan tular.

Muhammad Bakhtiar juga memberitahu antara jenis durian yang terdapat di Pulau Pinang telah dinamakan sebagai 'Felicia Khor' sempena nama seorang individu yang begitu setia membeli durian spesifik tersebut.

"Rasanya pahit tidak seperti buah klon lain dan ia berasal dari satu pokok durian kampung di pulau itu," kata Muhammad Bakhtiar.

Beliau berkata lima tahun yang lalu, Khor, salah seorang rakyat Malaysia yang kini tinggal di England, pulang ke rumah dan mencubanya.

Tahun berikutnya, dia memberitahu penjual durian di Teluk Bahang bahawa dia mahukan durian yang spesifik itu lagi.

"Pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan jenis durian tersebut untuknya dan pengusaha kebun durian terus menamakan durian itu dengan namanya," kata timbalan menteri, sambil menambah ia hanya berharga RM20 sekilo.

Antara klon durian klasik yang ditawarkan dalam pakej bufet berkenaan adalah Udang Merah, Kung Poh, Xiao Hong, Lipan, Capri, D11, D14 dan Kacang Hijau.

Muhammad Bakhtiar berkata pakej bufet yang berlangsung hingga 6 Ogos ini adalah kerjasama dengan kebun di Teluk Bahang yang bersedia menawarkan bufet pada harga tersebut.

"Kami memberi tumpuan kepada pelancong bebas berbanding pelancong berkumpulan. Jadi mereka boleh mengatur jadual penerbangan sendiri dan apabila mereka sampai ke hotel, kami akan sediakan pengangkutan untuk membawa mereka ke kebun durian," katanya.

Pengusaha kebun durian, Eric Yeap berkata, walaupun keuntungan bersihnya tidak besar, beliau begitu bersemangat untuk membantu kerajaan menjadikan durian Pulau Pinang menjadi terkenal.

Dalam pada itu, Yeap yang memiliki durian jenis Musang King dan Black Thorn di kebun miliknya mahukan buah tersebut dibayar secara berasingan.

Lebih menarik, syarikat penerbangan AirAsia juga membantu mempromosikan bufet durian Pulau Pinang.

"Mereka yang menunjukkan pas masuk pesawat AirAsia ke Pulau Pinang boleh mendapatkan 10 peratus tambahan daripada harga yang disenaraikan. Mereka juga berpeluang untuk cabutan bertuah dengan memenangi tiket penerbangan AirAsia dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, Johor Baru atau Melaka," katanya.- The Star 

Artikel Lain