Berhajat ke Jepun? Sila ke 3 lokasi ini sambil menikmati keenakan udang karang - Destinasi | mStar

Berhajat ke Jepun? Sila ke 3 lokasi ini sambil menikmati keenakan udang karang

Pencinta makanan laut, jangan lepaskan peluang menikmati hidangan ini di Tsukiji Market.

SETIAP kali bercuti, pasti ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati makanan-makanan popular tempat yang dilawati.

Jika ke Jepun, antara menu yang akan dicari ialah Sushi, Udon, Ramen, Okonomiyaki, Sashimi, Sukiyaki, Tempura, Teppanyaki dan juga Daging Wagyu.

Memang benar menu-menu ini boleh didapati di Malaysia, tetapi jika menikmatinya di negara matahari terbit itu, letusan rasanya luar biasa. Enak dan berbaloi-baloi.

Jadi jika anda ke Tokyo, jangan lepaskan peluang ke tiga lokasi selera ini. Percayalah, anda akan tersenyum lebar dengan makanan yang dihidangkan. Silap-silap teringat-ingat apabila sudah pulang ke Malaysia.

Jangan lepaskan peluang menikmati Sushi di Tsukiji Market.

1. Tsukiji Market

Pasar paling popular di Tokyo ini mula dibuka pada tahun 1935 dan ia punya keistimewaan tersendiri dan dekat di hati masyarakat tempatan.

Suatu ketika dahulu acara lelongan Tuna diadakan di sini sebelum berpindah ke lokasi baru, Toyosu Market bermula Oktober 2018.

Biarpun pasar basah telah ditutup, tetapi kedai-kedai di sebelah luar pasar masih lagi beroperasi seperti biasa.  Kedai-kedai ini masih menjadi tumpuan pelancong kerana ia menghimpunkan pelbagai jenis makanan tradisional masyakarat Jepun.

Tokyo, kota metropolitan yang menjanjikan cita rasa kuliner yang membuka selera.

Bahkan, di sinilah tempatnya untuk menikmati makanan laut segar yang dibakar dan dimakan dengan sos pedas.

Bagi penggemar Sushi dan Sashimi di sinilah lokasi terbaik untuk menikmati makanan kegemaran ini. Ini kerana makanan laut di sini cukup segar. Sama ada Tuna, Salmon, Sotong, Ketam dan Kekapis, semuanya memberi letusan rasa yang luar biasa.

Satu perkara yang anda perlu tahu, Sushi di Jepun telah siap-siap disumbat dengan wasabi. Jadi tidak perlu minta wasabi lagi.

Hanya cicah dengan kicap (shoyu) manis atau masin. Harga sepinggan Sushi pula di antara 100 yen (RM3.85 sen) ke 500 yen (RM19.27 sen). Bergantung kepada jenis Sushi yang dipilih. Satu yang pasti, harga Sushi berasaskan Salmon jauh lebih murah dari di Malaysia.

Jika anda penggemar makanan laut, boleh singgah ke kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis makanan laut. Cuma pilih yang berkenan, dan mereka akan membakarnya untuk dinikmati di situ. Tentang harga, tidak terlalu murah atau mahal. Tepuk dada, tanya poket. Cukup bajet ke tidak?

Lobster Roll antara menu yang menjadi buruan rakyat Malaysia setiap kali bercuti ke Jepun.

Lain-lain menu yang boleh didapati di sini ialah Daging Wagyu, Mochi, Okonomiyaki, dan pelbagai jenis manisan Jepun yang cukup menyelerakan.

Selain menjamu selera, di sini juga anda boleh mendapatkan pelbagai jenis cenderahati untuk dibawa pulang seperti pelapik gelas, pinggan-mangkuk gaya Jepun, chopstick, kipas kertas.

2. Makan Ramen di Ayam-Ya

Semangkuk Sup Ramen panas pasti membuatkan anda tersenyum lebar. Lebih-lebih lagi jika berkunjung pada musim sejuk.  Jadi panjangkan langkah ke Restoran Ayam-Ya Ramen yang terletak di 4 Chome-10-1 Taito, Taito City, Tokyo.

Ayam-Ya Ramen sememangnya popular dalam kalangan pelancong Muslim. Antara menu yang boleh dicuba ialah Spicy Ramen, Tori Ramen, Noko Tori Ramen, dan Kara Age (Ayam Goreng).

Harga makanan di Ayam-Ra juga berpatutan  iaitu bermula daripada 150 Yen ke 950 Yen. Jika suka makanan pedas, sila pesan Spicy Ramen yang dihidangkan bersama hirisan ayam.

Tsukiji Market menjanjikan pelbagai pilihan makanan Jepun yang membuka selera.

Kepedasan sup Ramen ini  pasti memenuhi selera anak Melayu. Begitu juga hidangan Kara Age. Ayam goreng yang boleh dimakan bersama nasi putih ini memang lazat. Ranggup dan secukup rasa.

Satu perkara yang anda harus tahu, untuk memesan makanan di sini,  pelanggan harus membuat tempahan di mesin layan diri yang tersedia di depan pintu masuk.

Selepas membuat pesanan,  layangkan resit  bayaran kepada pelayan restoran yang sedia menunggu.  Percayalah, makanan di sini enak-enak belaka dan anda pasti mahu ulanginya semula.

3. Luke’s Lobster Jangan DiLupa

The famous Lobster Roll in town! Mungkin itu jolokan yang sesuai untuk menu yang menjadi buruan rakyat Malaysia setiap kali bercuti ke Jepun.

Spicy Ramen antara menu yang mesti di cuba di Ayam-Ya.

Biarpun harganya mencecah lebih RM30 (setiap satu, tetapi Luke’s Lobster tetap menjadi idaman. Terdapat dua saiz yang boleh dipilih iaitu sederhana (regular) dan besar (US) yang masing-masing berharga 980 Yen (RM38.00) dan 1,580 Yen (RM61).

Selain isi udang karang (Lobster), anda juga boleh memesan isi udang atau ketam pada harga yang lebih murah. Cuma agak rugilah kerana Lobster Roll adalah bintang utama.

Tentang rasa, tidak perlu dipertikaikan lagi. Sesuai dengan popularitinya. Isi udang karang sangat segar dan manis.

Apabila dicampur dengan chili flake dan sos cili, rasanya lebih ‘terangkat’. Boleh juga pesan set menu yang turut hadir bersama kentang goreng dan minuman ringan.

Tidak susah mencari Luke’s Lobster di Tokyo kerana ada enam cawangan ke semuanya.

Selamat bercuti!

Jepun , travel #mstartravel

Artikel Berkaitan