suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Air mata CR7 tumpah di Texas… Impian Piala Dunia Ronaldo ranap di tangan Sepanyol

Ronaldo gagal menahan sebak ketika perlawanan terakhirnya untuk Piala Dunia. -Foto Saudi Gazette Sport

AIR mata Cristiano Ronaldo tumpah sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.

Detik hiba itu menandakan berakhirnya sebuah legasi dan perjalanan terakhirnya di pentas Piala Dunia FIFA 2026 bersama Portugal.

Langkah Portugal terhenti dalam aksi pusingan 16 terbaik selepas tunduk 0-1 kepada musuh tradisi, Sepanyol, di Stadium Dallas, Arlington, Texas, pada Isnin.

Sepanyol mengesahkan tiket ke suku akhir menerusi gol tunggal dramatik Mikel Merino pada minit pertama masa kecederaan separuh masa kedua, sekali gus menanatkan sisa perjuangan skuad Portugal.

Sejurus tamat perlawanan, Ronaldo yang jelas sebak dilihat mengesat air mata sebelum memberikan tepukan penghargaan kepada penyokong di stadium.

Pada usia 41 tahun, Ronaldo mengesahkan kejohanan kali ini merupakan penampilan terakhirnya di Piala Dunia, namun masih belum menutup terus pintu untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan.

"Saya sedih meninggalkan Piala Dunia dengan cara ini. Saya sudah beri segalanya dan saya pergi dengan hati yang tenang. 

"Inilah kehidupan seorang pemain bola sepak, kita perlu terus melangkah," katanya kepada media selepas perlawanan.

Sejak membuat penampilan sulung di Piala Dunia pada edisi 2006, pencapaian terbaik Ronaldo dalam kejohanan berprestij ini hanyalah mara ke peringkat separuh akhir.

Sepanjang menyarung jersi Portugal, Ronaldo menghadiahkan kejuaraan UEFA Euro 2016 serta dua trofi Liga Negara-Negara UEFA.

Namun impian pemain Al Nassr untuk menjulang trofi Piala Dunia tidak pernah menjadi kenyataan.

Kekalahan pahit kepada Sepanyol itu juga menyaksikan Ronaldo gagal membawa negaranya mara ke peringkat suku akhir buat dua edisi Piala Dunia berturut-turut.

"Saya sudah berikan segalanya. Saya telah memenangi tiga trofi bersama Portugal. Kejuaraan Euro 2016 itu bagi saya setaraf Piala Dunia," katanya lagi.

Sepanjang kempen kali ini, Ronaldo masih mampu membuktikan ketajamannya dengan meledak tiga gol, sekali gus menamatkan kerjaya Piala Dunianya dengan rekod keseluruhan 11 gol daripada enam edisi.

Namun, ia tidak cukup untuk membantu Portugal meneruskan kemaraan apabila disekat Sepanyol pada aksi terakhirnya di pentas bola sepak paling berprestij dunia. -Agensi

Artikel Lain