suria

Cristiano Ronaldo cecah 500 juta pengikut di Instagram lepas letak iklan bersama Messi

Ronaldo dan Messi menjadi idola ramai di media sosial.

CRISTIANO Ronaldo menjadi individu pertama untuk melepasi angka 500 juta pengikut di Instagram.

Pencapaian itu menjadi milik Ronaldo selepas dia memuat naik iklan Louis Vuitton yang memaparkan dirinya dengan seteru utamanya, Lionel Messi.

Satu-satunya akaun yang mempunyai pengikut lebih daripada Ronaldo adalah akaun rasmi Instagram dalam platform itu, kata jurucakap sebuah laman sesawang media sosial.

Selebriti kedua yang paling popular adalah bintang Argentina, Messi dengan 376 juta pengikut dan diikuti rapat Kylie Jenner yang mempunyai 372 juta pengikut.

Dalam iklan itu, Ronaldo dan Messi yang sedang mewakili pasukan kebangsaan mereka dalam saingan Piala Dunia Qatar dilihat menyandarkan tangan pada kotak berjenama Louis Vuitton sambil bermain catur.

Gambar Ronaldo dan Messi yang menjadi bualan hangat warga maya.

Ikon pasukan Portugal itu membuat hantaran gambar yang diambil jurugambar Annie Leibovitz itu di Instagram pada Sabtu.

Gambar itu telah meraih lebih dari 36.8 juta sukaan setakat 21 November.

Walaupun begitu, rekod gambar yang menerima sukaan tertinggi masih dirangkul oleh gambar telur 'world_record_egg' dengan 55.9 juta sukaan yang telah dimuat naik pada tahun 2019.

Data ini dikemukakan oleh jurucakap Instagram yang mengatakan organisasi itu hanya menyimpan data dari tiga bulan lalu.

Gambar telur yang memegang rekod sukaan paling banyak di Instagram.

Pada tahun 2010, Leibovitz juga menangkap gambar sekumpulan bintang bola sepak dari generasi sebelumnya untuk iklan kotak Louis Vuitton itu.

Barisan lagenda bola sepak itu terdiri daripada Pele, Zinedine Zidane dan Diego Maradona.

Iklan itu dilancarkan bersempena dengan Piala Dunia 2010.

Sementara itu, wakil Louis Vuitton memberitahu ia adalah julung kalinya kedua-dua bintang bola sepak itu terlibat sama dalam iklan jenama fesyen dari Perancis itu.

Dia bagaimanapun enggan memberitahu jumlah yang dibayar untuk menempatkan Ronaldo dan Messi sekali dalam iklan itu.

Manakala melalui satu hantaran di Instagram, ketua perhubungan awam dan komunikasi korporat di konglomerat LVMH Moet Hennessy Louis Vuitton SE, Antoine Arnault berkata dia sangat berbangga dengan kejayaan kempen itu.

Dia menggambarkan Ronaldo dan Messi sebagai "Two King. Two idols".

Sejak permulaan Piala Dunia Qatar, Ronaldo, 37, juga telah membuat hantaran di Instagram mengenai iklan platform pengurup matawang digital, Binance dan syampu rambut anti kelemumur.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Putrajaya banjir selepas satu jam hujan