suria

Jepun enggan hantar wakil ke Olimpik Musim Sejuk di Beijing

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun berkata negaranya membuat keputusan sendiri berdasarkan hasil semakan yang menyeluruh. Foto: AFP.

KEJOHANAN Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing, China pada Februari depan pastinya ditunggu-tunggu peminat dari seluruh dunia.

Namun, edisi penganjuran tersebut mungkin kurang seri apabila Jepun mengumumkan untuk tidak menghantar wakil mereka kali ini.

Pada 24 Disember lalu, Jepun mengumumkan mereka tidak akan menghantar wakil.

Jurucakap kerajaan Hirokazu Matsuno, enggan menyebutnya sebagai tindakan pemulauan diplomatik seperti yang dimulakan Amerika Syarikat dan sudah dituruti beberapa sekutunya termasuk Britain, Australia dan Kanada atas alasan rekod buruk hak asasi manusia di China termasuk terhadap golongan minoriti Muslim Uyghur.

"Jepun percaya adalah penting bahawa nilai-nilai yang dikongsi oleh masyarakat antarabangsa seperti kebebasan, hak asasi manusia dan mematuhi undang-undang juga harus dihormati di China.

"Seperti mana Tokyo 2020 mempamerkan kepada dunia bahawa sukan Olimpik dan Paralimpik adalah temasya perdamaian dan kesukanan yang memberi semangat kepada dunia," ujarnya.

Beijing telah memberi amaran bahawa empat negara yang mengumumkan boikot diplomatik terhadap Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 akan menanggung kesan daripada pemulauan tersebut.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun berkata negaranya membuat keputusan sendiri berdasarkan hasil semakan yang menyeluruh.

Namun begitu, Ketua Olimpik Tokyo 2020, Seiko Hashimoto dan ketua Jawatankuasa Olimpik Jepun, Yasuhiro Yamashita akan menghadiri acara di ibu kota China itu. - Mediacorp.Sg.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain