suria

Walaupun 17 tahun di Liverpool, Gerrard janji pada penyokong Villa dia akan beri komitmen penuh

Gerrard dilantik sebagai pengurus Villa minggu lalu menggantikan Dean Smith.

STEVEN Gerrard berjanji kepada penyokong Aston Villa bahawa dia akan memberi komitmen penuh walaupun mempunyai ikatan kuat dengan bekas pasukannya Liverpool, kata jurulatih baharu itu dalam sidang akhbar pertamanya pada Khamis.

Gerrard, yang mengetuai Rangers merangkul kejuaraan Scotland musim lalu, dilantik sebagai pengurus Villa minggu lalu, menggantikan Dean Smith yang dipecat.

Villa kini berada di tempat ke-16 liga, dua mata di atas zon penyingkiran selepas 11 perlawanan.

Bekas pemain tengah itu menghabiskan sebahagian besar karier iaitu selama 17 tahun, di Liverpool dan membantu mereka memenangi beberapa trofi termasuk Liga Juara-Juara dan kemudian memulakan kerjaya kejurulatihannya di akademi remaja kelab itu.

Bagaimanapun, Gerrard menegaskan tumpuannya tertumpu kepada Villa dan membantu mereka meningkatkan kedudukan.

Perlawanan pertamanya akan berlangsung pada hari Sabtu di tempat sendiri menentang Brighton & Hove Albion.

“Semua orang di seluruh dunia tahu makna Liverpool bagi saya tetapi tumpuan dan komitmen saya tertumpu kepada Villa.

"Saya berkata minggu lalu (dalam temu bual kelab) bahawa saya akan memberi komitmen sepenuhnya dan saya berjanji kepada penyokong bahawa perkara itu berlaku," kata pemain berusia 41 tahun itu.

Villa adalah salah satu daripada beberapa pasukan Inggeris yang memenangi Piala Eropah, pada 1982.

Walaupun penyokong akan mengimpikan kembali ke saingan benua, Gerrard menegaskan keutamaan adalah untuk memenangi perlawanan, terutamanya selepas kelab itu mengalami kekalahan berturut-turut lima perlawanan dalam liga. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain