suria

Tuchel puji karakter Jorginho, jadi watak penting Chelsea jinakkan Arsenal sebentar lagi

TONGGAK tengah Chelsea, Jorginho pasti enggan mengulangi kesilapannya ketika berdepan Arsenal musim lepas menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi EPL sebentar lagi. — AGENSI.

PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel menghamburkan pujian terhadap perancang tengahnya, Jorginho menjelang pertembungan kelab itu dengan Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat lawan pukul 11.30 malam ini.

Menurut Tuchel, Jorginho memainkan peranan yang sangat penting bagi Chelsea serta turut memuji karakter pemain berkenaan, sekali gus bakal menjadi watak penting The Blues di Stadium Emirates sebentar lagi.

"Saya fikir Jorginho adalah pemain yang sangat strategik. Dia tahu apa yang perlu dilakukan ketika memegang bola dan boleh membayangkan apa yang akan terjadi dalam satu atau dua hantaran ke hadapan.

"Apabila anda memiliki pemain sepertinya dalam satu struktur, permainannya sangat tersusun, dia mengawal apa yang berlaku di sekitarnya dan mampu menunjukkan kemampuan sebenarnya dalam mengawal rentak permainan," ujar Tuchel.

ARTIKEL BERKAITAN: Chelsea hilang khidmat Pulisic, bakal beri kelebihan buat Arsenal?

ARTIKEL BERKAITAN: Diboo peminat, Werner akan dilelong Chelsea?

Tambah pengurus kelahiran Jerman itu, Jorginho turut memberikan kualiti yang baik dari segi kebolehan bertahan.

"Dia mahu berada di setiap sudut padang, dia mempunyai kebolehan untuk banyak berlari. Mungkin dia tidak memiliki kelajuan tetapi dia mengimbangi kelemahan itu dengan bekerja keras dan membantu bahagian pertahanan.

"Selain dari itu, dia merupakan lelaki yang hebat. Dia lucu, sering tersenyum setiap hari. Kamu boleh berbual dengannya, bergelak tawa dengan dia setiap hari," kata Tuchel lagi.

Jelas Tuchel, Jorginho akan memberikan impak besar kepada pemain lain di Chelsea seperti Mateo Kovacic.

"Walaupun mereka tidak menyinar tetapi mereka membuatkan orang lain bersinar dan itu juga penting bagi mana-mana pasukan di dunia," ujarnya.

Jorginho menikmati musim yang cemerlang pada tahun ini apabila memenangi trofi Liga Juara-Juara bersama Chelsea serta trofi kejohanan Euro 2020 bersama Itali.

Dia juga tercalon sebagai salah seorang penerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan UEFA di samping rakan sepasukan di Chelsea, N'Golo Kante dan pemain Manchester City, Kevin De Bruyne.

Sebentar lagi, Jorginho pastinya mahu menebus kesilapan yang dilakukannya pada pertemuan menentang Arsenal pada musim lalu sehingga menyebabkan kelab itu tewas 0-1 di Stamford Bridge. - Metro UK

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Chelsea, Jorginho

Artikel Berikut

Artikel Lain