suria

"Ada sebab kenapa Martial, bukannya Cavani" - Solksjaer

AKSI EPL antara Manchester United dan Southampton sekadar berkesudahan seri 1-1 malam tadi. — AGENSI.

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan pemilihan skuad beliau yang sekadar seri 1-1 ketika berdepan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat lawan malam tadi.

Skuad The Red Devils beraksi tanpa kehadiran penyerang utama, Edinson Cavani sementara Jadon Sancho, Scott McTominay dan Jesse Lingard juga hanya tampil selaku pemain gantian.

Tonggak pertahanan baharu Man.United, Raphael Varane pula sekadar memanaskan bangku simpanan serta tidak berpeluang membuat debut pertama bersama The Red Devils di Stadium Saint's Mary malam tadi.

Menurut Solksjaer, Cavani hanya berkemungkinan turun beraksi pada perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers minggu depan.

Ini kerana katanya, Cavani masih tidak bersedia untuk diturunkan malam tadi atas faktor kecergasan.

Pada masa sama, jelasnya, Antony Martial juga lebih sesuai beraksi sebagai penyerang untuk perlawanan itu berbanding Cavani berdasarkan prestasi cemerlangnya ketika berdepan Southampton musim lepas.

"(Antony) Martial merupakan penyerang yang lebih sesuai pada perlawanan ini... Dia bermain baik menentang Southampton pada musim lalu.

"Sancho dan (Raphael) Varane juga masih tidak cergas sepenuhnya sementara Scott McTominay pula mengalami kecederaan ringan," kata Solksjaer.

Keputusan seri itu menyaksikan Man.United gagal mengulangi kejayaan besar membenam Leeds United 5-1 pada minggu lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Legenda Liverpool tempelak perpindahan Varane ke Manchester United

ARTIKEL BERKAITAN: Pujuk sertai Manchester United... Rio Ferdinand mengaku hantar mesej kepada Varane

Southampton terlebih dulu memecah kebuntuan jaringan menerusi gol sendiri oleh pemain Man.United, Fred pada minit ke-30 selepas bola yang dirembat oleh penyerang tuan rumah, Che Adams terkena kakinya lalu menerjah gawang.

Mujurlah Mason Greenwood kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat pada minit ke-55 selepas menerima hantaran cantik daripada Paul Pogba, sekali gus membawa pulang satu mata.

Meskipun sekadar seri, keputusan itu menyaksikan Man.United menyamai rekod Arsenal iaitu tidak tewas 27 perlawanan liga di tempat lawan.

Pada masa sama, Pogba turut menjadi pemain pertama EPL yang mencatatkan lima bantuan hantaran (assist) dalam dua perlawanan pertama liga dalam satu musim.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Manchester United, Southampton

Artikel Lain