suria

'Haaland lebih sesuai buat Man. City'

HAALAND merupakan penyerang yang lebih sesuai buat Manchester City berbanding Harry Kane. — AGENSI.

MANCHESTER CITY perlu mengalih perhatian daripada terus memburu Harry Kane, sebaliknya melihat potensi yang dimiliki seorang lagi penyerang muda berbakat, Erling Haaland untuk mempertajamkan jentera serangan The Citizens.

Legenda pertahanan City, Danny Mills, percaya bahawa Haaland merupakan bakat muda yang berpotensi besar serta paling sesuai mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sergio Aguero, lapor Mirror.Co.

ARTIKEL BERKAITAN: Musim baharu EPL, tapi skrip masih sama. Apa sudah jadi Arsenal?

Jelasnya lagi, pemain berusia 21 tahun itu merupakan satu aset yang berbaloi dan dia dilihat mampu untuk menyesuaikan diri dengan percaturan bos di Etihad, Pep Guardiola.

"Dia jauh lebih muda dan berbakat besar. Pada usia ini, saya pasti dia mempunyai semangat yang lebih membara berbanding Harry Kane untuk meneruskan kejayaan Manchester City di Liga Perdana Inggeris (EPL)," katanya.

City akan berkunjung ke Stadium Tottenham Hotspur dalam aksi pembuka tirai EPL pukul 11.30 malam esok, namun perlawanan itu dibayangi masa depan Kane yang disebut-sebut bakal berhijrah ke Stadium Etihad dalam masa terdekat.

Tambah Mills lagi, dia juga tidak pasti bahawa Kane sesuai dengan corak permainan City, selain pihak pengurusan The Citizens juga sepatutnya melihat Haaland sebagai prospek yang lebih berbaloi meskipun terpaksa berbelanja besar berbanding Kane.

Sebelum ini, tawaran harga sebanyak £150 juta pound (RM881.2 juta) bagi mendapatkan khidmat Kane telah ditolak mentah-mentah oleh Spurs.

Selain memburu khidmat Kane, skuad kendalian Guardiola juga telah berbelanja besar apabila berjaya memikat pemain tengah England, Jack Grealish dengan nilai £100 juta pound (RM 587.5 juta) sebelum ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Guardiola juga dikatakan masih tidak berputus asa untuk membuat penambahan sekurang-kurangnya satu atau dua orang lagi pemain baharu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 31 Ogos.

Dalam pada itu, Guardiola juga dilaporkan berusaha untuk mengekalkan penyerangnya, Gabriel Jesus yang dilaporkan mahu mencari destinasi baharu sekiranya benar Kane akan menyertai City.

"Gabriel Jesus adalah pemain yang sangat penting bagi kami. Dia penyerang bagus yang berpotensi untuk membawa kejayaan kepada City," ujar Guardiola.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

bola, haaland, manchester city, kane

Artikel Lain