suria

Tingkap bas Real Madrid dipecahkan sebaik tiba di Anfield

Tingkap bas Real Madrid dipecahkan ketika tiba di Anfield untuk perlawanan menentang Liverpool.

SALAH satu tingkap bas pasukan Real Madrid dipecahkan ketika dalam perjalanan ke Anfield untuk perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool.

Gambar menunjukkan kakitangan Anfield membersihkan kerosakan itu selepas bas diparkir di luar lokasi kejadian.

Bas yang membawa para pemain menuju ke Anfield Road melepasi beberapa penyokong Liverpool yang berkumpul untuk bersorak buat pasukan mereka menjelang perlawanan, yang didahului The Reds dengan agregat 3-1.

Bagaimanapun, tidak dipastikan punca kerosakan pada tingkap bas tersebut.

Beberapa petugas dilihat membersihkan serpihan dan plastik yang terkopak dari kenderaan itu.

Liverpool dalam satu kenyataan mengkritik mereka yang menyebabkan kejadian berlaku.

"Kami mengutuk dengan tegas tindakan yang menyebabkan bas pasukan Real Madrid rosak semasa ketibaannya ke Anfield.

"Ini adalah tingkah laku segelintir individu yang tidak boleh diterima dan memalukan.

"Kami memohon maaf kepada pengunjung kami atas segala kesulitan.

"Kami akan bekerjasama dengan Polis Merseyside untuk membantu siasatan dan mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab," menurut kenyataan itu. - Mirror

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain