suria

MFL serah tiket percuma kepada 13 penyokong Kedah yang kemalangan Ahad lalu

Sebahagian daripada 13 penyokong Kedah yang terlibat dengan kemalangan Ahad lalu mendapat perhatian daripada MFL.

SERAMAI 13 penyokong Kedah yang berdepan detik hitam ketika van yang dinaiki mereka terbakar dalam perjalanan untuk menyaksikan aksi separuh akhir Shopee Piala FA 2019 menerima tanda penghargaan istimewa daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Mereka menerima tiket percuma final Shopee Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini yang diserahkan oleh MFL sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka terhadap pasukan Helang Merah.

MFL memuji semangat tinggi ditunjukkan oleh penyokong berkenaan apabila mereka tetap meneruskan perjalanan ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka untuk menyaksikan pasukan kesayangan beraksi walaupun ditimpa musibah pada pertengahan jalan yang menyaksikan van dinaiki musnah terbakar.

Berikutan itu, tiket-tiket diserahkan sebagai pengiktirafan terhadap semangat yang ditunjukkan selain diharap dapat memberi sedikit keceriaan kepada mereka atas dugaan yang menimpa.

Seramai tujuh orang wakil penyokong hadir ke sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019 pada Isnin lalu bagi menerima tiket yang diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Salah seorang mangsa, Suaznat Sulaiman berterima kasih atas keprihatinan MFL kepada mereka yang terlibat dalam insiden itu.

“Kejadian itu tidak mematahkan semangat kami sebab nak tunjukkan semangat yang ada dalam diri sebagai penyokong ni akan sampai kepada pemain-pemain Kedah untuk beraksi.

“Sebab itulah kami teruskan juga perjalanan kami ke stadium (Stadium Tun Abdul Razak) walaupun sudah ditimpa dugaan besar dengan barang-barang berharga juga turut musnah dalam kebakaran itu,” kata Suaznat.


Penyokong Kedah, kemalangan, Tiket

Artikel Lain