suria

Bakal kembali selepas 2 kali beraya di UK, Yusry 'Kudik' tak sempat buat persiapan raya... "Jadual kelas dan latihan padat"

Kudip (dua kanan) bersama keluarganya.

TEMPOH dua tahun berkelana nun jauh di England bakal berakhir buat pemain muda kelahiran Sarawak, Mohd Yusry Haziq Idris.

Pemain berusia 17 tahun ini terbang ke Leicestershire selepas terpilih sebagai pemenang Program Million Dollar Feet (MDF), yang dipelopori legenda Liverpool, Steve McMahon pada 2016.

Susulan itu, Yusry atau mesra di panggilan Kudik ini ditempatkan di Brooke House College Football Academy di Leicestershire, England mulai September 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Yusry Haziq bakal tamatkan latihan di UK, bapa anggap jolokan 'Neymar Malaysia' masih jauh

ARTIKEL BERKAITAN: Belum ada nama, tapi ada 2 tahun pengalaman di England, bapa harap Kudik main untuk JDT

Selain mengutip pengalaman paling bernilai dengan menimba ilmu dan membina kemahiran secara langsung bersama pelatih-pelatih dari pelbagai negara, Kudik turut menyimpan kenangan beraya berjauhan daripada keluarga.

Kudik ketika tiba di UK 2017.

“Tahun ini merupakan kali kedua beraya di sini (England). Bagi saya dari segi makanan, tidak ada yang berbeza daripada Malaysia.

“Banyak juga makanan kita ada di sini. Jadi perasaan rindu makanan tradisional hari raya tu tak lah banyak sangat, lagipun saya memang suka makan macam-macam. Ketika raya tahun lalu, lemang, ketupat nasi himpit semuanya ada.

“Cuma tahun ini saya tak sempat nak buat persiapan raya kerana jadual kelas dan latihan yang agak padat.

“Lagi pun hujung bulan ni saya akan tamat latihan di akademi dan kembali ke Sarawak,” jelasnya kepada mStar.

Kudik bersama salah seorang rakan pelatih di akademi.

Mengenai perancangan selepas pulang nanti, kata Kudik, dia belum memutuskan secara spesifik apa yang akan dilakukan memandangkan dia adalah pemain bebas.

“Mungkin akan teruskan latihan dengan pasukan Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SSNS), SMK Tabuan Jaya, Kuching.

“Buat masa ini saya belum menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pasukan di Malaysia. Saya akan cuba tunjukkan yang terbaik jika diberi peluang untuk jalani sesi ujian penilaian prestasi kelak.

“Saya harap akan ada peluang untuk saya berkongsi menggunakan pengalaman yang dipelajari di sini.

“Perkongsian ini penting bagi saya bagi memastikan segala yang dipelajari tidak hilang begitu sahaja,” ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Yusry Haziq, Kudip, UK

Artikel Lain