suria

Kim Swee senarai 27 pemain ke kem latihan pusat B-22

Ong Kim Swee.

KETUA jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 27 pemain menjalani kem latihan pusat bermula Ahad ini bagi persiapan menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 di Stadium Shah Alam dari 22 hingga 26 Mac.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan pemain yang terlibat dengan perlawanan Liga Super dan Liga Premier pada Ahad (10 Mac) dikehendaki melapor diri pada Isnin (11 Mac).

Manakala pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terlibat dengan perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada Selasa (12 Mac) dikehendaki melapor diri pada Rabu (13 Mac).

Mengulas lanjut mengenai pemilihan pemain, FAM berkata Kim Swee mengekalkan 21 pemain yang beraksi pada Kejuaraan B-22 AFF 2019 di Phnom Penh, Kemboja, bulan lepas dan hanya menggugurkan dua pemain iaitu Nabil Hakim Bokhari serta Danish Haziq Saipul Hisham.

Bagi melengkapkan senarai 27 pemain itu, Kim Swee telah memanggil enam pemain baharu termasuk empat pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe pada Piala Suzuki AFF 2018 iaitu Syamer Kutty Abba, Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari, serta dua lagi pemain iaitu Danial Amir Norhisham dan Faisal Abdul Halim.

Skuad B-22 kebangsaan akan menjalani latihan selama tujuh hari sebelum diuji pada satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Australia B-22 pada 17 Mac dan senarai akhir 23 pemain bagi membawa cabaran Malaysia pada saingan kelayakan akan dinamakan selepas itu.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J akan bermula dengan aksi bertemu Filipina pada 22 Mac diikuti aksi menentang Laos pada 24 Mac dan China pada 26 Mac, di mana ketiga-tiga perlawanan akan diadakan di Stadium Shah Alam.

Juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat/lima pasukan tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Malaysia sebelum ini ketika turut dibimbing Kim Swee layak ke pusingan akhir buat kali pertama pada Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan berjaya mencipta sejarah melangkah ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan.

Barisan 27 pemain: Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin, Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Safawi Rasid, Mohamad Hariz Kamarudin (JDT), Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Azli Nik Alias, Damien Lim Chien Khai (Kelantan).

Kogileswaran Raj, R. Dinesh, Mohamad Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhamad Azri Ab Ghani, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir, Muhammad Danial Amier Norhisham (Felda United), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC).

Evan Wensley Wenceslaus, Ariusdius Jais (Sabah), Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama) K. Thivandaran (PJ City FC), Muhammad Amirul Ashraf Ariffin (UiTM FC), Muhammad Nazirul Afif Ibrahim (Perak), Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC II) dan Muhammad Syahmi Safari (Selangor).- BERNAMA

Ong Kim Swee, AFC

Artikel Lain