suria

Laluan selesa Pahang pusingan kedua Piala FA

Skuad Pahang bakal berdepan dengan pasukan Persada Integriti Bersatu April ini.

JUARA bertahan, Pahang mendapat laluan mudah dalam saingan pusingan kedua Piala FA 2019 apabila diundi berdepan pasukan amatur, Persada Integriti Bersatu (PIB) FC pada awal bulan depan.

Majlis undian itu turut menyaksikan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat 'bye' untuk beraksi dalam kelompok 16 pasukan terbaik, kelak.

Majlis undian itu disempurnakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi pada Isnin.

Sementara itu, pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang berkata walaupun skuad Tok Gajah merupakan juara bertahan dan berpengalaman, mereka tidak akan memandang rendah kemampuan lawan, termasuk menentang pasukan berstatus amatur itu.

"Kita tidak boleh ambil mudah tentangan daripada pasukan amatur. Pahang tetap akan membariskan pemain utama dan mempamerkan aksi sebenar.

"Pasukan lain turut mengidamkan kemaraan ke final dan menjuarai Piala FA musim ini dan bukan satu perkara mudah untuk pasukan Pahang mempertahankan kejuaraan memandangkan pasukan gergasi lain turut mempunyai pemain hebat," katanya kepada pemberita selepas majlis undian itu.

Dalam pada itu, saingan pusingan kedua Piala FA akan turut menyaksikan pertembungan juara lima kali, Selangor dijadual menentang Kelantan yang pernah bergelar juara pada 2012 dan 2013.

Walaupun Kelantan kini beraksi dalam Liga Premier, pengurus pasukan Selangor, Datuk Rauf Ahmad berkata pasukan Pantai Timur itu mempunyai rekod cemerlang dalam saingan Piala FA selain merupakan pasukan berpengalaman.

"Bagi saya undian hari ini bukan laluan mudah, kita tahu pasukan Kelantan adalah satu pasukan yang gah satu ketika dahulu.

"Kita tetap berhati-hati pada perlawanan itu nanti dan akan meneruskan usaha memperbaiki prestasi," kata Rauf.

Pusingan kedua Piala FA dijadual berlangsung pada 2 dan 3 April depan, menyaksikan 15 perlawanan melibatkan 30 pasukan termasuk 10 pasukan amatur.

Jumlah pasukan amatur itu merekodkan penyertaan terbanyak dalam sejarah saingan Piala FA yang mula diperkenalkan pada 1990.-Bernama

Pahang, Piala FA

Artikel Lain