suria

Jangan bergantung kepada KBS selesai masalah tunggakan gaji - Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kesal dengan sikap sesetengah persatuan bola sepak negeri yang mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan yang mereka alami dengan meminta bantuan daripada kementerian.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan itu sama sekali salah dan tidak adil kepada persatuan sukan dan bola sepak yang berjaya menguruskan kewangan persatuan masing-masing dengan baik.

“Tak adil, bila ada masalah datang kepada KBS minta peruntukan...memang salah. Yang kedua itu masalah yang dihadapi mereka (persatuan bola sepak) dan mereka perlu selesaikan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel pembaikan struktur pesawat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan pada Selasa.

Sebelum ini beberapa persatuan bola sepak dilaporkan mengalami masalah kewangan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan mereka sehingga mendapat perhatian Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Berikutan itu kesemua tujuh pasukan berkenaan iaitu Felda United, Perlis, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Melaka United telah diarah supaya menghantar maklumat tambahan mengenai status kewangan pasukan dalam tempoh 48 jam berkuatkuasa Jumaat lalu.

Syed Saddiq menyifatkan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai bola sepak yang bersaing dalam Liga Malaysia bukan sesuatu yang baru tetapi masalah berulang yang berpunca daripada ketidakcekapan pengurusan.

“Ambil pemain dijanjikan gaji mahal tapi musim belum habis dah tak boleh bayar. Lepas tu beri alasan ‘kita tak jangka perkara ini berlaku'," katanya.

"KBS sedia berkolaborasi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan persatuan bola sepak negeri bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu yang sedang hangat melanda arena bola sepak negara," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas tentang penglibatan pemain dalam sindiket mengatur perlawanan, Syed Saddiq menyerahkan perkara itu untuk disiasat oleh pihak berkuasa. - BERNAMA

tunggakan, gaji, KSB

Artikel Berikut

Artikel Lain