suria

"Memang kita mahu menang, tapi proses bentuk pasukan perlukan masa" - Mat Zan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Zan Mat Aris berharap penyokong setia pasukan itu dapat memberi ruang kepadanya untuk membentuk barisan pemain yang lebih mantap.

Mat Zan,60, yang dilantik mengendalikan skuad rusa musim ini dalam persediaan menghadapi Liga Premier menjelang Liga Malaysia yang bakal membuka tirainya awal Februari ini.

"Sekarang ini kita dalam proses taktikal, teknikal dan persediaan untuk musim ini. Majoriti pemain Negeri Sembilan adalah pemain muda dan masih kurang dari segi pengalaman.

"Tetapi bagi saya ia tidak menjadi masalah kerana saya mahu mereka jadi pencabar dalam saingan liga nanti.

"Kita kena beri keyakinan kepada mereka melalui beberapa siri persahabatan dengan pasukan tempatan dan negara jiran (kelab Singapura).

"Berdasarkan prestasi di situ saya boleh tengok mereka ada peningkatan dari masa ke semasa," ujarnya kepada mStar Online.

Mengenai barisan pemain import, Mat Zan memberitahu, beliau masih mencari sorang lagi penyerang untuk perkuatkan jentera serangan.

"Kita sudah ada pemain pertahanan, tengah dan sekarang masih menilai beberapa penyerang import yang datang untuk menjalani ujian bersama pasukan.

"Saya harap dengan kehadirannya nanti dapat membantu pemain-pemain tempatan dalam mencorakkan permainan di atas padang nanti.

"Sebagai jurulatih, saya hanya boleh memberi mereka tunjuk ajar ketika latihan, namun  di atas padang semua keputusan di tangan mereka.

"Buat masa sekarang saya sedang tanamkan ilmu seperti karektor, gaya permainan serta taktikal," ujarnya.

Dalam pada itu, Mat Zan berharap semua penyokong The Jang bersabar dalam proses membentuk pasukan yang lebih baik.

"Sokongan peminat juga memainkan peranan penting kepada pasukan. Memang kita mahu menang, menang dan menang tetapi kita semua sedar pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui terlebih dahulu," tambahnya.

Mat Zan, Negeri Sembilan

Artikel Lain