suria

Instat mampu bantu bentuk pasukan lebih baik - Jurulatih

Tan Cheng Hoe

PETALING JAYA: Sistem statistik Instat dijangka dapat membantu semua jurulatih dalam Liga Malaysia membentuk pasukan yang lebih baik.

Bagi meningkatkan kualiti Liga Malaysia, Liga Bola Sepak  (MFL) bakal menawarkan perkhidmatan statistik pemain dan perlawanan secara percuma kepada pasukan yang bertanding bermula kempen musim 2019.

Selaras dengan kemajuan bola sepak era moden, MFL komited untuk membantu 24 pasukan Liga Super dan Liga Perdana menerusi kerjasama dengan Fanskick.com yang menyediakan statistik daripada InStat.

Pengenalan sistem perkongsian statistik ini dijangka dapat membantu jurulatih Liga Malaysia dalam persiapan untuk membentuk pasukan yang lebih baik sebelum mengharungi sesuatu perlawanan.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berpendapat pengenalan sistem statistik ini akan memberi impak lebih positif kepada pasukan kebangsaan dalam usaha mengintai pemain-pemain berpotensi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Saya menyambut baik dengan kaedah ini di mana saya sendiri tidak dapat untuk turun ke semua venue bagi menilai setiap persembahan pemain.

“Dengan pengenalan sistem ini ia memberikan saya banyak input lebih tepat dalam usaha memilih pemain-pemain untuk diserapkan bersama pasukan kebangsaan.

“Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk memuji langkah MFL yang sentiasa berusaha keras membantu meningkatkan kualiti Liga Malaysia dan saya berharap sistem ini akan kekal lebih lama bagi memudahkan tugas setiap jurulatih,” tambah Cheng Hoe.

Sementara itu, Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan turut memuji pendekatan yang diperkenalkan MFL ini di mana beliau optimis kesemua pengendali di Liga Malaysia akan gembira dengan pengenalan statistik secara percuma pada musim ini.

“Ini adalah langkah yang seharusnya disambut dengan positf. Sudah pasti sebagai jurulatih, pemberian statistik ini memudahkan tugas kami dalam memantau perkembangan, potensi dan pergerakan pemain dengan lebih efektik,” katanya.

Menerusi kaedah ini, jurulatih pasukan negeri atau kelab akan diberi statistik mengikut prestasi pasukan masing-masing, manakala pengendali pasukan kebangsaan memiliki akses untuk mendapatkan data kedua-dua pasukan terbabit.

Setiap pasukan akan menerima statistik pemain dan perlawanan secara terperinci dalam tempoh 48 jam selepas InStat mendapat video setiap perlawanan.

Dalam statistik itu, setiap jurulatih akan mendapat laporan terperinci antaranya peratusan hantaran tepat, jumlah hantaran, minit perlawanan, stamina pemain dan lain-lain berdasarkan video perlawanan yang telah diproses.

InStat, jurulatih, Liga Malaysia

Artikel Lain