suria

Aidil Sharin dedah rahsia pilih Kedah

Aidil Sharin Sahak.

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mendedahkan mendapat tawaran untuk melatih sebuah kelab bola sepak dari Indonesia sebelum membuat keputusan untuk bersama pasukan Kedah.

Pengendali dari Singapura itu memberitahu, keputusannya untuk bersama skuad hijau kuning diputuskan selepas mendapat nasihat daripada bekas jurulatih skuad Singapura, V Sundramoorthy.

Jelasnya, Sundramoorthy yang juga bekas pemain Kedah (1989-1990) dan berjaya membantu skuad itu menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Singapura ketika itu mencadangkan agar dia menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak kedah (KFA).

"Saya pertimbang nasihat itu dengan baik sehingga membawa saya ke sini (Alor Setar) untuk memastikan Kedah mendapat kejayaan bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

"Apa yang lebih penting sekarang, saya perlu memberi sepenuh perhatian dalam membentuk sebuah skuad terbaik dengan gandingan pemain berpengalaman dan pemain muda.

"Walaupun baru bersama skuad ini tetapi saya mendapat bantuan daripada seorang bekas pemain yang berjaya mencipta kejayaan bersama pasukan ini iaitu Victor Andrag yang tidak asing bagi pemain," katanya kepada mStar Online.

Bercerita lebih lanjut mengenai skuad hijau kuning, Aidil Sharin berkata, muka baharu seperti N Thanabalan dijangka akan menyertai sesi latihan pada Selasa manakala Zaquan Adha dan pemain import kelima akan bersama pasukan selepas ini.

Menurutnya, selepas melalui dua perlawanan persahabatan sebelum ini Kedah akan diuji dalam beberapa siri perlawanan lagi iaitu menentang Selangor United (4 Januari), Kelantan (9 Januari) di Universiti Utara Malaysia.

Selain itu kedah bakal berdepan juara Piala Malaysia, Perak bagi merebut Piala Unity di Stadium Darul Aman pada 13 Januari.

"Selepas itu kita akan akan bertemu Buriram United FC (19 Januari) Krabi FC (21 Januari) dan Suratthani FC pada 23 Januari. Ketiga-tiga perlawanan itu akan diadakan di Stadium Krabi, Thailand.

"Tidak ketinggalan juga menentang bekas kelab saya dari Singapura iaitu Home United di Stadium Darul Aman pada 26 Januari," jelasnya.

Aidil Shahrin

Artikel Lain