suria

“Kita masih tunggu pemain dari Brazil untuk teliti prestasinya” - Mohd Yusoff

Pemain Melaka United Luka Milunovic (dua, kiri) cuba melepasi asakan para pemain Selangor United pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Pra Musim 2019 di Stadium Hang Jebat, Sabtu malam.

MELAKA: Melaka United masih meneliti prestasi pemain import yang bakal dibawa masuk bagi memastikan pemain tersebut menepati ciri diperlukan dan berkualiti untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan seterusnya membantu pasukan mencapai sasaran kedudukan empat terbaik.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata antara pemain import yang hadir sejak awal minggu ini adalah yang berasal dari Serbia, Montenegro dan Korea Selatan untuk dinilai ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan serta barisan kejurulatihan.

"Kita masih menunggu seorang lagi pemain dari Brazil untuk datang ke sini bagi meneliti prestasinya dalam melengkapkan pasukan Melaka United, namun kedudukan kesemua mereka akan ditentukan jurulatih.

"Bagi kuota pemain ASEAN, kita masih mencari pemain, dan kemungkinan kita hanya akan menggunakan empat pemain asing untuk memperkuatkan pasukan dengan kualiti yang ada," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan pramusim antara Melaka United dan Selangor United di Stadium Hang Jebat, di sini, Sabtu malam.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Sang Kancil menewaskan pasukan daripada Liga Perdana 3-2 menerusi jaringan Safiq Rahim pada minit ketiga, Luka Milunovix (minit ke-64) dan Darko Markovix (minit ke-87) manakala gol Selangor United dijaringkan oleh Yusaini Hafi pada minit ke-34 dan Nikita (minit ke-47).

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata biarpun Melaka United masih baru dibentuk, pasukan itu mempamerkan persembahan yang baik berdasarkan prestasi semasa namun terdapat kekurangan ketara di barisan serangan yang masih tumpul.

"Kita yakin dengan pemain-pemain yang ‘berjenama' dibawa masuk ke dalam Melaka United, pasukan ini mampu mencabar musim depan selain berjaya mengembalikan kehadiran ribuan penyokong ke stadium walaupun hanya perlawanan persahabatan.

"Melaka United memang menyasarkan kedudukan empat teratas dalam Liga Super dan memenangi satu piala dipertandingkan yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan kepada ketua jurulatih, diharap dengan sedikit perubahan pasukan ini boleh dimantapkan untuk membentuk pasukan yang ampuh," katanya. - Bernama

Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain