suria

Selepas kontrak tak disambung, Safiq Rahim jawab spekulasi tinggalkan JDT!

Masa depan Safiq masih lagi menjadi tanda tanya.

PETALING JAYA: Tindakan Johor Darul Ta'zim (JDT) melepaskan khidmat bekas kaptennya, Safiq Rahim menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Banyak kelab dikaitkan dengan pemain tengah berusia 31 tahun itu sehinggalah lima kelab, antaranya Selangor, PKNS FC, Shah Alam Antlers FC, Ampang United FC dan Kelab Bola Sepak Raja Permin membuat penafian mengenainya.

Untuk menjawab segala spekulasi tersebut, Safiq menegaskan keputusannya untuk meninggalkan juara lima kali Liga Super itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Saya ingin tegaskan di sini, tiada apa-apa atau sesiapa yang mempengaruhi pemergian saya dari JDT. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa," katanya dalam satu posting di Instagramnya, Rabu.

Safiq berkata keputusan tersebut dibuat atas persetujuan bersama demi kepentingan JDT dan dirinya sendiri.

"Jangan ada pihak yang sesuka hati membuat spekulasi sendiri hingga memburukkan keadaan antara dua pihak," katanya.

Dalam pada itu, Safiq turut terbuka menyertai pasukan Harimau Selatan itu semula suatu hari nanti.

"Jika ada rezeki saya akan kembali kerana JDT sentiasa membuka pintu kepada saya dan pemain yang lain untuk kembali," katanya.

Posting terbaharu Safiq mengenai isu dia tidak lagi bersama JDT musim depan.

Pemain tengah itu turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan kepercayaan dan membantu dirinya serta keluarganya selama ini.

"Enam tahun mungkin tak cukup untuk saya balas budi baik Tunku dan JDT.

"Ia adalah satu penghargaan terbesar dapat bersama dalam keluarga JDT dan mengecapi kejuaraan bersama," katanya.

Tunku Ismail dalam satu posting di Twitternya pada Selasa berkata keputusan tidak menyambung kontrak Safiq dilakukan kerana JDT mahu membawa masuk pemain import yang lebih bagus dan muda daripada pemain berusia 31 tahun itu pada musim depan.

Katanya, kelab Harimau Selatan itu tidak mampu menanggung pemain yang bergaji tinggi namun hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail berkata pasukan itu sendiri mempunyai Nazmi Faiz yang menampilkan persembahan baik pada musim ini dan beberapa pemain tengah muda yang lain.

"Dengan JDT yang banyak membawa masuk pemain-pemain muda, jika pemain senior seperti Safiq Rahim masih lagi berada di dalam pasukan, pemain muda ini agak sukar untuk mengembangkan bakat dan permainan mereka," katanya.

Oleh sebab itu, Tunku Ismail berkata beliau mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda tempatan dan berbakat daripada mengekalkan Safiq.

Safiq Rahim, JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Itu berita palsu!"

Artikel Lain