suria

Johor giat siapkan gelanggang kejohanan untuk persediaan Sukma ke-20

BATU PAHAT: Kerajaan Negeri Johor kini giat mempersiapkan  gelanggang  atau   lokasi  kejohanan untuk beberapa acara sukan sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, dua tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata salah satu sukan yang akan berlangsung di daerah ini ialah hoki wanita yang akan menggunakan padang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Bentara Luar.

Katanya, pemilihan padang di sekolah itu sebagai venue adalah kerana sekolah itu mempunyai sebuah padang yang dilengkapi dengan padang rumput sintetik, sekaligus menjadi satu-satunya sekolah yang mempunyai padang yang bertaraf antarabangsa di negeri ini.

“Oleh yang demikian, kita akan menaik taraf padang di SMK (Dato' Bentara Luar) ini dengan membina sebuah ‘grandstand' serta tempat penonton agar atlet serta mereka yang hadir pada kejohanan ini berada dalam keadaan yang selesa.

"Dalam masa yang sama, kita juga akan turut menaik taraf saliran perparitan di padang terbabit. Kini, proses untuk menilai kos sebenar keperluan untuk menaik taraf sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita, di sini pada Jumaat. 

Mohd Khuzzan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Insentif Hoki dan Perasmian Padang Hoki SMK Dato' Bentara Luar, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Persatuan Hoki Johor, Shahabudin Royani dan pengetua sekolah berkenaan, Mohamad Bahri Ibrahim.

Kata Mohd Khuzzan, selain di sekolah itu, satu lagi venue untuk sukan hoki wanita di daerah ini ialah padang di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dekat sini, yang akan turut dinaik taraf.

“Sebelum ini, kita telah umumkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk menaik taraf Lapang Sasar Menembak di Tanjung Laboh, dekat sini. Kita juga akan memastikan venue lain berada dalam keadaan yang memuaskan.

"Selain hoki wanita dan menembak, kita juga sedang usahakan untuk membawa acara lain untuk dipertandingkan di daerah ini seperti silat olahraga, judo, memanah dan beberapa yang lain,” katanya.

Menurut beliau, selain daerah Johor Bahru dan Batu Pahat, kerajaan negeri juga akan pastikan daerah lain akan mempunyai sekurang-kurangnya satu acara sukan, dengan menjadikan contah SUKMA di Perak, baru-baru ini yang menyaksikan seluruh pelusuk negeri berkenaan mempunyai acara sukan. - Bernama

Sukma

Artikel Lain