suria

Muhammad Shehran Mahu Tumbangkan Erick Subiyasno Esok

Foto dari Bernama

PETALING JAYA: Peninju profesional negara, Muhammad Shehran mahu meraih kemenangan KO (Technical Knockout) apabila turun menentang wakil Indonesia Erick Subiyasno dalam perebutan gelaran juara kelas featherweight Silver Asia Konfederasi Tinju Dunia (WBC) diadakan bersempena Siri Tinju Profesional Malaysia di Grand Ballroom One City Mall, Subang Jaya, Sabtu.

Shehran, 22, yang diketepikan daripada beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, optimis misinya itu dapat dicapai memandangkan kelemahan pencabarnya itu sudah diketahui selepas kedua-dua peninju itu bertemu sebelum ini.

Menurut beliau, tujuannya ingin meraih kemenangan KO adalah disebabkan mahu menebus kekecewaannya selepas Erick dijulang selaku juara menerusi keputusan sebulat suara sewaktu mereka berentap di Indonesia, Disember lepas.

“Saya mahu tewaskan dia (Erick) secara KO sebab pertarungan sebelum ini saya ditewaskan mengikut keputusan sebulat suara walaupun ketika itu saya rasa sudah memenangi perlawanan tersebut. Jadi kali ini saya mahu semua orang melihat kemenangan mutlak itu menjadi milik saya.

“Kekurangan stamina kelemahan dia yang saya perasan ketika pertemuan terakhir kami. Jadi saya sasarkan menumbangkannya pada pusingan ketujuh sebab ketika berlawan sebelum ini, memasuki pusingan kelima, beliau seakan sudah hilang fokus,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan itu di sini, Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boxranx Raymond Lew yang bertindak sebagai penganjur siri berkenaan, menyeru peminat sukan tinju tempatan untuk sama-sama hadir menyaksikan perlawanan tersebut sekali gus memberi sokongan kepada Shehran.

Selain perlawanan itu, beliau berkata penonton yang hadir akan dapat menyaksikan pertarungan membabitkan peninju ranking keenam dunia, Quadratillo Abduqaxorov dari Uzbekistan menentang Laszlo Toth dari Hungary yang akan merebut gelaran juara kategori welterweight Dunia WBC.

Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu dijual pada harga serendah RM168 seorang dan untuk sebarang maklumat lanjut, boleh layari laman rasmi Facebook WBC Malaysia. - Bernama

Muhammad Shehran

Artikel Lain