suria

John Terry Akhirnya Tinggalkan Chelsea

John Terry

CHELSEA mengumumkan kaptennya John Terry akan meninggalkan kelab itu setelah 22 tahun berada di Stamford Bridge.

Bekas pemain antarabangsa Inggeris ini telah menghabiskan sepanjang kariernya bersama The Blues, setelah pertama kali bergabung dengan pasukan junior pada 1995 sebelum pertama kali bermain dengan Chlesea pada 1998.

Setelah 22 tahun, legenda Chelsea ini telah membuat 713 penampilan, termasuk 578 kali sebagai kapten.

Pemain berusia 36 tahun ini bakal 'angkat kaki' apabila kontraknya tamat akhir musim ini.

Sepanjang menyarung jersi Chelsea Terry telah memenangi 14 gelaran utama termasuk empat Liga Perdana Inggeris, lima Piala FA dan Liga Juara-Juara 2012, selain menjaringkan 66 gol.

“Setelah 22 tahun, terdapat begitu banyak perkara untuk diperkatakan dan begitu ramai yang perlu diucapkan terima kasih di kelab luar biasa ini. Bermula daripada jurulatih, rakan sepasukan dan staf, sehingga penyokong yang telah memberikan begitu banyak sokongan selama bertahun-tahun, saya tidak cukup berterima kasih kepada anda semua.

"Peluang untuk saya bercakap lebih banyak tentang ini akan hadir dalam beberapa minggu akan datang,” kata Terry di laman rasmi kelab.

“Saya akan memutuskan masa depan saya pada masanya, tapi buat masa ini komitmen saya adalah untuk membantu pasukan meraih kejayaan musim ini.

“Saya dan kelab sentiasa memiliki hubungan yang mengagumkan dan ia akan berlanjutan. Kami memiliki perbincangan positif dengan semuanya dibuat secara matang.

"Saya telah memutuskan ini adalah waktu yang tepat untuk saya berundur. Saya sedar, saya pergi pada waktu yang tepat, dengan cara yang betul dan merasakan bahawa akhir musim ini adalah waktu yang tepat untuk kelab dan saya," katanya.

Semenjak kedatangan jurulatih Itali ke Stamford Bridge, Antonio Conte musim ini, Terry dilihat lebih banyak berada di bangku simpanan.

Conte lebih gemar menurunkan Gary Cahill, David Luiz dan Cesar Azpilicueta.

Pada musim ini Terry hanya bermain sebanyak empat kali sebagai starter dari keseluruhan lima penampilan di Liga Perdana Inggeris.

John Terry, Chelsea

Artikel Berikut

Keputusan Kejuaraan

Artikel Lain