suria

Presiden BAM: Pilihan Lawan Pengalaman

Norza (kanan) tidak berkompromi dengan Al Amin sebaliknya kekal dengan pendirian untuk bertanding pada kongres pemilihan BAM yang dijadualkan berlangsung 29 April ini. - Sinar Online

"NORZA mungkin calon favourite (pilihan), tetapi lebih baik angkat yang berpengalaman," demikian reaksi bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim apabila mengulas mengenai calon pilihan untuk menyandang jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kerusi panas Presiden BAM yang ditinggalkan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bakal menyaksikan pertemuan dua penjuru di antara timbalan dan pemangku presiden badan induk itu iaitu Datuk Seri Norza Zakaria dan Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid.

Roslin berkata, beliau melihat Al Amin mempunyai lebih kredibiliti untuk menyandang jawatan tertinggi BAM kerana beliau lebih lama dalam badan induk itu dan tahu selok-belok dan situasi badminton.

"Al Amin kalau tak silap saya sudah menyertai BAM sejak penghujung 1990-an lagi. Mungkin lebih kurang tahun 1997. Jadi bagi saya beliau lebih mengetahui situasi yang berlaku daripada dulu, sebelum ini dan juga sekarang.

"Tetapi ini bukan bermakna Norza tidak bagus, cuma dari segi pengalaman saya lebih merasakan Al Amin lebih layak," katanya.

Roslin walau bagaimanapun berharap siapa pun sahaja yang memegang tampuk pemerintahan BAM untuk membuat lebih banyak pembaharuan bagi mengembalikan kegemilangan negara di dalam sukan itu.

Antara ditekankan Roslin ialah pembangunan bakat baharu badminton negara yang dilihat semakin malap.

"Tengok situasi sekarang kita memang serba-serbi kurang dari segi pemain. Ambil contoh pemain perseorangan lelaki yang mana kita tiada penyambung bakat yang berkualiti selepas Datuk Lee Chong Wei yang mana beliau sendiri pernah suarakan mengenai perkara ini.

"Begitu juga pemain beregu negara yang prestasinya tidak konsisten dan ada turun naik.

"Cuma beregu campuran saja saya lihat ada banyak peningkatan yang mana kita ada dua lagi gandingan baharu di belakang Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

"Saya pasti sesiapa sahaja yang akan pegang jawatan ini sudah nampak akan kelemahan yang kita ada sekarang ini.

"Jadi, diharapkan mereka dapat cari idea yang berkesan untuk melakukan penambahbaikan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Roslin turut meminta BAM untuk lebih prihatin terhadap kelab, akademi dan persatuan badminton negeri di dalam membantu untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu badminton.

Ujarnya, bantuan seperti menyalurkan dana atau peruntukan dijamin dapat bantu BAM membangunkan bakat muda badminton dari peringkat akar umbi.

"Awal 90-an dahulu BAM selalu membantu dengan memberi dana kepada persatuan-persatuan negeri untuk program pembangunan badminton.

"Tetapi sekarang ini saya tidak pasti jika masih ada peruntukan untuk persatuan negeri kerana saya melihat BAM lebih fokus kepada bakat yang ada di Sekolah Sukan Bukit Jalil sahaja dan tidak turun ke peringkat lebih bawah untuk membangunkan pemain.

"Jadi, saya mengharapkan presiden baharu nnati sesiapa yang memegang jawatan itu untuk salur bantuan dan peruntukan kepada kelab, akademi atau persatuan badminton negeri supaya mereka dapat bantu BAM untuk membangunkan bakat muda yang berkualiti.

"Saya yakin, walaupun pemain itu dari kelab, akademi atau persatuan negeri, tapi bila bertanding di luar negara dan peroleh kejayaan, mereka tetap bawa nama Malaysia," ujarnya lagi. - Sinar Online

Artikel Berikut

Artikel Lain