suria

Nicol Pilih Rodriguez Jadi Pasangan Tari

Nicol menarik bersama Rodriguez.

PETALING JAYA: Meskipun gagal memenangi Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2017, Datuk Nicol David tidak kelihatan patah semangat, sebaliknya mencipta kejutan apabila meluangkan masa dengan aktiviti tarian untuk "Nicol Dance Challenge".

Untuk cabaran itu, Nicol telah memilih sebuah lagu dan seorang pemain skuasy untuk menari bersamanya.

Selepas mengusik peminat di Facebook pada Sabtu dan meminta mereka untuk meneka 'rakan tari pertamanya', Nicol memuatnaik satu rakaman video rutin tarian pada pagi Ahad berserta hashtag #nicoldancechallenge.

Video tersebut yang menjadi tular mendedahkan pasangan tarinya, Miguel Angel Rodriguez, pemain skuasy dari Colombia.

Pasangan itu dilihat menari mengikut rentak lagu Despacito oleh Luis Fonsi di tepi pantai El Gouna, Mesir, lokasi Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2017 dan Terbuka Skuasy Lelaki Antarabangsa sedang berlangsung.

"Dan kami di sini... rakan tari pertama untuk cabaran tarian saya. Miguel Angel Rodriquez, pemain skuasy Colombia. Terima kasih Miguel, anda menari dengan baik," kata Nicol.

Nicol memperkenalkan cabaran tarian itu menerusi video yang dimuatnaik di laman Facebooknya pada 5 April lalu.

Dalam video itu beliau 'mengingatkan' pencabarnya bahawa dia akan mendapatkan mereka sebagai pasangan tarinya.

"Saya akan memulakan cabaran hashtag dipanggil sebagai #nicoldancechallenge. Saya sedang mencari seorang pemain skuasy untuk menyertai saya dalam cabaran ini. Awas pemain skuasy, saya akan dapatkan anda," katanya dalam video itu.

Video tarian itu menjadi tular dengan kebanyakan peminat Nicol menyifatkan Rodriguez sebagai pasangan yang sempurna untuknya.

Artikel Sebelum

TMJ Sedia Berundur

Artikel Berikut

Artikel Lain