suria

V Shem Pasang Impian Muncul Beregu Terbaik Dunia

Gandingan V Shem dan Wee Kiong meraih pingat gangsa pada aksi final beregu lelaki Sukan Olimpik Rio, Ogos lalu.

KUALA LUMPUR: Pemain beregu nombor satu negara, Goh V Shem kini dalam misi mengejar impian muncul sebagai pasangan beregu nombor satu dunia sebelum akhir tahun ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu yang kini berada di ranking kedua dunia, yakin dengan mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Terbuka China dan Terbuka Hong Kong, beliau bersama gandingannya, Tan Wee Kiong mampu merampas kedudukan tersebut daripada pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

"Saya perlu konsisten dalam setiap kejohanan sebelum musim ini tamat. Saya percaya dengan usaha dan kesungguhan, kami mampu rampas kedudukan teratas dunia itu jika beraksi cemerlang dalam beberapa kejohanan antarabangsa akan datang.

"Memang menjadi harapan dan impian saya sejak dahulu ingin menjadi pasangan beregu nombor satu dunia, dan kini adalah masanya walaupun terdapat saingan sengit daripada beregu lain," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Mengenai Terbuka Hong Kong yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 20 November ini, V Shem berkata Wee Kiong kini dalam proses pemulihan selepas kecederaan yang dialami ketika Terbuka Denmark.

Untuk rekod, gandingan mantap V Shem-Wee Kiong berjaya muncul juara Terbuka Denmark pada pertengahan Oktober lepas, namun kecundang awal pada Terbuka Perancis selepas itu, ekoran kecederaan.

Pada masa sama, V Shem turut mengakui beliau menerima tekanan di peringkat awal, namun berjaya mengatasi tekanan itu melalui persiapan rapi bersama jurulatihnya, Jeremy Gan.

"Tekanan itu memang ada, tetapi diri sendiri kena kuat untuk berdepan tekanan yang datang...dengan bantuan jurulatih dan rakan sepasukan saya yakin mampu menghadapinya," kata V Shem. - BERNAMA



Goh V Shem, beregu lelaki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain