suria

PPBN: FAM Beri Amaran Keras Kepada Lim Teong Kim

PETALING JAYA: Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim diberi amaran keras dan terakhir oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara tindakannya mengarahkan pemain dan pegawai Pasukan Bawah 14 meninggalkan padang sebelum tamat perlawanan di Korea Selatan 28 September lalu.

Pasukan B-14 PPBN berada di Korea Selatan bulan lalu bagi menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di sana dan insiden tersebut belaku ketika skuad kendalian Teong Kim itu berdepan dengan Pohang Steelers FC.

Menurut FAM, pihaknya telah memberi maklum balas terhadap surat penjelasan yang dihantar PPBN bertarikh 20 Oktober lalu.

"FAM telah menghantar surat maklum balas kepada PPBN dengan menyatakan amaran keras agar kejadian seperi itu tidak berulang lagi," jelas ringkas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Isnin.

Dalam surat FAM kepada PPBN itu turut menjelaskan bahawa, tindakan Teong Kim pada ketika itu boleh memberi impak negatif kepada hubungan baik persatuan ini dan Pohang Steelers FC dan juga Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) secara tidak langsung.

"Oleh yang demikian Lim Teong Kim adalah diberi amaran supaya tidak mengulangi perkara sedemikian pada masa akan datang.

"Sekiranya Teong Kim mengulangi perkara yang sama pada masa akan datang, maka Persatuan ini tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas beliau," jelas surat tersebut.

Sebagai rekod, insiden tersebut timbul selepas Pohang FC Steelers menghantar surat aduan kepada FAM mengenai tindakan jurulatih itu  yang tidak membenarkan pemain-pemainnya meneruskan aksi separuh masa kedua perlawanan.

Difahamkan, bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan Pohang FC menurunkan pemain lebih umur dalam perlawanan berkenaan yang sepatutnya melibatkan pemain berusia 14 tahun ke bawah sahaja.

Namun, kelab Korea Selatan itu memberikan penjelasan yang mereka sudah memaklumkan kepada Teong Kim lebih awal akan menurunkan tiga pemain berusia 15 tahun berserta bukti kad pengenalan pemain.

Surat PPBN kepada FAM
https://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2016/10/23/ppbn-fam-surat/

Lim Teong Kim, Amaran FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain