suria

Kami Bermain Seperti 'Persahabatan Musim Panas' - Mourinho

Jose Mourinho. -fotoAP
JOSE Mourinho mendakwa pemainnya telah menganggap perlawanan menentang Fenerbahce dalam saingan Liga Europa, awal pagi Jumaat sebagai perlawanan 'persahabatan musim panas' selepas Manchester United tewas 1-2 di Istanbul.

Skuad Mourinho ketinggalan hanya 65 saat selepas Wayne Rooney menjaringkan gol ke-38, menyamai rekod Ruud van Nistelrooy untuk United dalam perlawanan di Stadium Sukru Saracoglu, tetapi gol itu tidak cukup untuk menyelamatkan mereka daripada kalah.


Lebih teruk lagi apabila Mourinho terpaksa mengeluarkan pemain rekod dunia Paul Pogba selepas setengah jam, menimbulkan keraguan sama ada dia akan diturunkan untuk perlawanan Liga Perdana menentang Swansea, Ahad ini.

Mourinho yang marah dengan pasukannya berkata: "Pada mulanya mereka bermain seperti perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan kami bermain seperti perlawanan persahabatan musim panas, itulah realitinya.

"Saya fikir mereka berhak untuk menang. Bola sepak bukan hanya tentang kualiti, ia juga tentang usaha, komitmen, bermain pada tahapnya dan memberikan segala-galanya.

"Satu pasukan yang mengaku kalah dengan satu gol selepas dua minit adalah satu pasukan yang tidak bersedia, tidak menumpukan perhatian. Ia adalah kesilapan kami.

"Kami mudah terjejas. Saya tahu. Tetapi kami tidak menjaringkan gol yang cukup. Pada masa seperti ini, kami perlu menjadi lebih kuat dari segi mental dan memulakan permainan yang lebih baik daripada yang telah kami lakukan."

Mourinho kecewa kerana pemainnya tidak mengendahkan amarannya untuk meningkatkan permainan mereka selepas kemenangan selesa 4-1 ke atas Fenerbahce di Old Trafford dua minggu lalu.

Dia menambah: "Apa yang mengecewakan apabila saya mempunyai cukup pengalaman bermain dengan pasukan Turki. Di sini saya bermain dua kali dengan Real Madrid, dua kali dengan Chelsea, juga dengan Porto.

"Saya memberikan semua pengalaman saya kepada pemain dan pengalaman saya adalah bermain menentang mereka seperti di tempat sendiri dan ia mudah, hasilnya sentiasa 3-0 atau 4-0.


"Jika anda datang ke Turki ia adalah cerita yang sama sekali berbeza. Saya beritahu mereka untuk menunggu saat itu dan tidak tertumpu kepada permainan mudah di Old Trafford, bersedia untuk permainan yang sama sekali berbeza. Kami 'tidur' ketika memulakan permainan."


Kekalahan itu menyebabkan United berada di kedudukan ketiga dalam Kumpulan A di belakang Feyenoord dan Fenerbahce.

Mereka memerlukan kemenangan daripada dua perlawanan terakhir untuk memastikan tempat dalam 32 pasukan terakhir Liga Europa.

Mourinho telah pertama kali menurunkan pemain Henrikh Mkhitaryan yang dibeli dengan £26.3 juta untuk musim panas  sejak pertengahan September.

Dia memberi amaran bahawa masih banyak yang perlu dilakukan Mkhitaryan untuk mendapatkan posisi tetapnya.

"Saya tidak berfikir tentang menyingkirkannya tetapi dia perlu melakukan lebih lagi,senang sahaja," kata Mourinho.

"Kami mempunyai harapan yang besar di kelab dan ramai pemain untuk posisi tersebut. Dia perlu bermain lebih baik daripada (Juan) Mata, (Jesse) Lingard, dan (Anthony) Martial.

"Setiap pengurus di dunia mahu memenangi perlawanan dan menurunkan pemain yang difikirkan boleh membantu pasukan. Saya juga tiada berbeza."

Artikel Berikut

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain