suria

Pafa Didenda RM47 Ribu, Beraksi Tanpa Penyokong

Penyokong JDT dan Perak membaling objek selepas tercetusnya pergaduhan setelah tamat perlawanan Liga Super di Stadium Perak malam 6 Ogos lalu. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Skuad bola sepak Perak akan memulakan tiga aksi Liga Malaysia di gelanggang sendiri musim depan tanpa penonton sebagai hukuman terhadap tindakan penyokong mereka dalam perlawanan Liga Super pada 6 Ogos lepas.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mendenda Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebanyak RM47,500 kerana tindakan penonton mereka di Stadium Perak di Ipoh ketika perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Menurut kenyataan FAM, denda yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FAM itu merangkumi RM10,000 atas kesalahan penyokong Perak membaling botol minuman ke arah penyokong JDT, dan RM37,500 lagi kerana insiden membabitkan kecederaan.

"PAFA diarahkan bermain tiga perlawanan rasmi tanpa penonton di gelanggang sendiri selain diberi amaran keras serta hukuman yang lebih berat menanti jikamengulangi kesalahan sama," tambah kenyataan itu. 

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula didenda RM15,000 atas kesalahan penyokong JDT membaling botol minuman ke arah penyokong Perak, memusnahkan papan iklan serta mencederakan seorang jurugambar.

Selain itu, denda RM15,000 lagi dikenakan atas kesalahan menyanyikan lagu yang menghina pasukan Perak.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pasukan boleh mengemukakan rayuan kepada FAM terhadap hukuman yang diputuskan Jawatankuasa Tataterib FAM itu. 

PAFA, JDT, FAM

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain