suria

Khairy Harap Keputusan ISTAF Tidak Jejaskan Program Persediaan Atlet

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berharap tindakan yang bakal dikenakan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) terhadap Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan menjejaskan program persediaan atlet sukan berkenaan.

Ia ekoran tindakan pemain Malaysia memulaukan perlawanan regu kedua peringkat akhir berpasukan Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand ke-31 di Bangkok pada 23 Oktober lepas.

"Saya difahamkan, ISTAF sedang melihat isu ini dan saya serah kepada ISTAF untuk mengambil sebarang tindakan.

"Saya berharap keputusan ISTAF tidak akan menjejaskan program persediaan atlet dalam Program Podium atau Kita Juara. Bagaimanapun, kita kena tunggu dahulu apa tindakan ISTAF," kata Khairy pada sidang media selepas menutup persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Menurut laporan akhbar baru-baru ini, sembilan pemain negara serta pegawai pasukan yang disenaraikan dalam perlawanan akhir itu, bertindak memulaukan pertandingan selepas regu pertama negara tewas kepada regu Thailand.

Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader dalam kenyataan media pada Jumaat lepas, memaklumkan sembilan pemain negara, pegawai pasukan dan pihak-pihak berkaitan bakal dipanggil Lembaga Siasatan persekutuan itu, sebelum dikenakan sebarang tindakan kerana insiden berkenaan memalukan pihak tuan rumah.

Terdahulu Khairy pada majlis penutup persidangan Majlis Perundingan Belia Negara itu melancarkan Kursus Asas Kepengadilan Kebangsaan 1 Belia 1 Pengadil (1B1P) yang akan dianjurkan secara kerjasama antara Majlis Belia Malaysia (MBM)serta Kementerian Belia dan Sukan.

Kursus asas membabitkan tiga jenis sukan iaitu bola sepak, sepak takraw danbola jaring itu bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan belia dan beliawanis.

Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan beberapa usul dan cadangan yang dibentangkan dalam persidangan Majlis Perundingan Belia Negara akan disampaikan kepada menteri-menteri yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Saya secara peribadi rasa puas hati dengan kualiti usul-usul dibentangkan. Kebanyakannya isu-isu semasa seperti kesihatan mental dan pemakanan. Ini semua ada kaitan dengan cabaran golongan muda yang perlu kita bincangkan.

"Misalnya, isu kesihatan mental dan kemurungan dalam kalangan anak muda...tekanan dalam kalangan pelajar-pelajar. Dari segi masalah pemakanan pula libatkan soal obesiti dan anoreksia," katanya. -Bernama

Istaf, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain