suria

Pertimbang Hukuman Penggantungan Terhadap Zamri - KJ

Khairy Jamaluddin.

HULU TERENGGANU: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyarankan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mempertimbangkan hukuman yang dikenakan terhadap pelumba basikal profesional negara Mohd Zamri Salleh.

Beliau menyifatkan hukuman yang dijatuhkan kepada pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) itu agak keterlaluan.

"Dia (Zamri) hanya bertanya berkenaan hadiah kemenangannya yang terdahulu... hanya mempersoalkan perkara itu...beliau telah digantung PKBM...saya rasa hukuman itu tidak setimpal dengan apa yang dilakukannya.

"Saya tidak boleh campur tangan tetapi saya telah minta Pesuruhjaya Sukan bincang perkara ini kerana Zamri antara pelumba yang mungkin akan menggalas cabaran dengan mewakili negara pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Pelumba berpengalaman TSG itu telah digantung lesen perlumbaan selama tiga bulan oleh PKBM atas kesalahan menggunakan perkataan yang memburukkan imej badan induk berbasikal negara itu.

Penggantungan dibuat berdasarkan komen yang ditulis pelumba terbabit di laman sosial Facebook berhubung wang hadiah kemenangan yang masih tidak dibayar ketika itu.

Berdasarkan surat tatatertib dikeluarkan PKBM penggantungan pelumba lebuh raya berusia 33 tahun itu berkuat kuasa (24 Oktober 2016) sehingga 23 Januari 2017.

Seorang lagi pelumba TSG, Mohd Shahrul Mat Amin, yang dikatakan turut mempersoal kredibiliti PKBM, bagaimanapun dilepaskan dengan amaran.

Dengan penggantungan itu, Mohd Zamri dilarang menyertai mana-mana kejohanan lumba basikal dalam dan luar negara dalam tempoh tersebut.

Susulan penggantugan itu juga, Khairy berkata Zamri mempersoalkan hadiah kemenangan itu menerusi Facebook mungkin kerana terpaksa berbuat demikian selepas menemui jalan buntu.

"Kalau hendak jatuhkan hukuman tak kan lah sampai digantung lesen perlumbaan beberapa bulan...saya rasa itu tidak wajar dan PKBM perlu fikirkan kembali tindakan disiplin tersebut," katanya. - BERNAMA


PBKM, Mohd Zamri Salleh

Artikel Sebelum

Arsenal Benam Sunderland 4-1

Artikel Lain