suria

Moto2: Ramdan, Hafizh Catat Keputusan Baik Pusingan Kelayakan

Pelumba wildcard dari pasukan Petronas AHM Malaysia Ramdan Rosli bersiap untuk memulakan sesi latihan bebas ketiga Moto2 pada Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu.

SEPANG: Pelumba wildcard Petronas AHM Malaysia, Ramdan Rosli mengakui lebih yakin untuk beraksi pada saingan akhir Moto2 Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) selepas menguasai kedudukan ke-12 pada pusingan kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sabtu.

Ramdan yang menunggang jentera Kalex ternyata teruja apabila pertama kali berada di kelompok 15 terbaik pelumba dalam aksi kelayakan di Litar Sepang.

"Ini merupakan penampilan kedua saya di Litar Sepang dalam kejuaraan dunia dan ianya keputusan terbaik dalam aksi kelayakan.

"Keputusan yang baik untuk pasukan saya dan makin teruja untuk perlumbaan esok memandangkan jurang catatan masa dengan pelumba lain tidak begitu jauh," jelasnya kepada media selepas pusingan kelayakan.

Menurut pelumba berusia 20 tahun ini, pada awalnya dia tidak menyasarkan untuk berada dalam kelompok terbaik 15 pelumba pada pusingan ini.

"Saya sedar semua pelumba ada peluang yang sama untuk 'improve' tetapi saya cuba 'push' habis-habisan sehinggalah pada 15 minit terakhir terdapat sedikit kesilapan.

"Tetapi pasukan mekanik membuat perubahan pada brek dan sepuluh minit terakhir saya berjaya menamatkan di tempat ke-12.

"Saya tidak jangka berada di depan Hafizh (rakan sepasukan) kerana dia lebih laju.

"Apa pun, saya berharap pada perlumbaan esok saya tidak ada kesilapan yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Hafizh Syahrin Abdullah yang menamatkan saingan kelayakan di kedudukan ke-14 tidak risau dengan kedudukan yang dicatat hari ini.

"Prestasi agak baik berbanding semalam (sesi latihan bebas, Jumaat) dan ada peningkatan.

"Cuma hari ini saya berasa was-was pada penghujung perlumbaan sama ada mahu menukar tayar kering atau tidak kerana tidak mahu mengambil risiko.

"Posisi hari ini pun tidaklah teruk dan yakin mampu untuk melonjak empat atau lima petak di hadapan pada perlumbaan nanti.

"Keadaan jentera juga baik cuma saya perlu lebih berhati-hari di selekoh pertama," jelasnya.

Hafizh Syahrin yang terkenal dengan gelaran El Pescao (Ikan Kecil) mencatat keputusan terbaik di Litar Sepang musim lalu apabila berada di tempat kelapan keseluruhan.


Moto2, MotoGP, SIC, Hafizh Syahrin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kedudukan Petak Pelumba Moto2

Artikel Lain