suria

Vida Maklum Hasrat Henti Taja Kelantan Musim Depan

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan penaja utama pasukan itu, Vida Beauty Sdn Bhd sudah menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan tajaan musim depan.

Susulan itu, Annuar berkata isu tersebut akan dibincangkan bersama pihak pengurusan Kafa bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Saya memahami hasrat mereka dan akan bawa isu ini ke Majlis Kafa. Kita akan mencari jalan keluar yang terbaik dengan mengambil kira semua faktor serta menjaga hubungan baik jangka panjang dengan semua pihak.

"Walaupun ini akan menambah kesulitan Kafa tapi seperti biasa setiap musim pengurusan ini sentiasa diuji pelbagai kepayahan yang biasanya tidak difahami pihak luar.

"Namun dengan izin Allah kita sentiasa dapat atasi cabaran berkat keikhlasan dan kejujuran bekerja secara sukarela menjaga bola sepak Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, malam Rabu.

Menurut Annuar, Kafa bagaimanapun tidak akan berputus-asa dengan setiap ujian yang melanda pasukan itu.

"Tugas bola Kelantan yang tak siapa mahu ambil tanggungjawab ini bakal kita pikul sehingga ada pihak yang bersedia mengambil alihnya nanti.

"InsyaAllah musim 2017.... sekali lagi TRW bakal berwajah baharu," katanya.

Terdahulu, pemilik Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bersetuju menaja Kelantan selama dua musim sebanyak RM16 juta dengan mengenakan 35 syarat.

mStar Online sebelum ini melaporkan Hasmiza yang juga pengasas produk Pamoga Qu Puteh mengakui sudah 'tawar hati' untuk meneruskan tajaannya.

Vida berkata keputusan untuk menghentikan tajaan lebih awal itu dibuat selepas kecewa dengan prestasi Kelantan selain pelaburannya tidak menampakkan pulangan positif.

Kafa, Annuar Musa, Datuk Vida

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Liga Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain