suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Malaysia Akur Kepada India

KECEWA... Pemain hoki kebangsaan Faizal Saari terduduk selepas kalah kepada India pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Kuantan Rabu. Keputusan penuh Malaysia 1-2 India. Kejohanan itu akan berakhir Ahad ini. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Hasrat pasukan hoki negara untuk mengekalkan rekod tanpa kalah tidak kesampaian apabila tumpas 1-2 kepada India pada perlawanan pusingan awal Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Hoki Kuantan di sini, malam Rabu.

Kejayaan menewaskan pasukan tuan rumah itu terus meletakkan India di kedudukan teratas liga dengan kutipan 13 mata.

Sebelum ini, India menewaskan Jepun 10-2, seri 1-1 berdepan Korea Selatan, kalahkan Pakistan 3-2 dan membelasah China 9-0.

Malaysia pula sebelum ini, mengalahkan juara bertahan, Pakistan 4-2, menewaskan China 5-1 dan menumpaskan Jepun 7-2.

Pada perlawanan malam ini, pasukan India terlebih dahulu berada di hadapan menerusi pakar pukulan sudut penalti, Rupinder Pal Singh yang menyempurnakan pukulan tersebut pada minit ke-12.

Namun, anak didik Stephen Van Huizen tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, juga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Razie Rahim, selang enam minit kemudian.

Terikat 1-1, kedua-dua pasukan saling mengasak pintu gol lawan namun menemui jalan buntu sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, pasukan Malaysia berpeluang menambah jaringan apabila dihadiahkan empat pukulan sudut penalti, namun percubaan barisan pemain negara gagal disempurnakan dengan baik.

Sebaliknya, anak buah Roelant Oltmans yang berjaya membolosi gawang pasukan negara, juga menerusi pukulan sudut penalti Rupinder Pal Singh pada minit ke-58, dan kedudukan itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Malaysia akan melengkapkan jadual pusingan awal menentang Korea Selatan, esok.

Artikel Lain