suria

7,000 Di 105 Kedutaan Malaysia Meriahkan HSN2016

Rakyat Malaysia yang turut sama mengambil bahagian dalam sambutan HSN2016 di Mexico.

PETALING JAYA: Hari Sukan Negara 2016 (HSN2016) yang berlangsung pada Sabtu minggu pertama bulan ini bukan sahaja dimeriahkan dengan pembabitan masyarakat berbilang bangsa di seluruh negara, malahan turut disertai rakyat Malaysia di luar negara.

Menurut Wisma Putra, HSN2016 berjaya menarik jumlah penyertaan seramai hampir 7,000 orang membabitkan 105 kedutaan Malaysia.

Kecuali di Hong Kong, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sana terpaksa membatalkan aktiviti yang dirancang berikutan amaran Taufan Aere.



"Walaupun angka berkenaan terlalu rendah jika dibandingkan dengan jumlah peserta di Malaysia, namun kita melihat daripada perspektif yang lebih besar.

"Bukan jumlah peserta yang menjadi matlamat utama kementerian, sebaliknya penyertaan semua pejabat Malaysia di luar negara yang menjadikan sambutan Hari Sukan Negara sebagai peristiwa peringkat global," demikian menurut Kementerian Luar.

Menurut Wisma Putra lagi, pejabat Malaysia di Medan, Bucharest, Canberra, dan Kaherah menyambut HSN2016 sehari lebih awal berikutan masalah logistik.

Sementara itu kedutaan Malaysia di Tokyo dan Mumbai menyambut kempen gaya hidup hidup sihat berkenaan pada 9 Oktober dalam usaha untuk menarik penyertaan yang lebih besar dari kalangan penduduk tempatan.

Aktiviti sukan popular seperti berjalan untuk kesihatan, badminton dan senam aerobik menjadi pilihan di kebanyakan pejabat Malaysia di luar negara, selain boling dan golf.

Manakala kedutaan Malaysia di Afrika Selatan memilih biliard sebagai salah satu acara sukan mereka.

Sambutan HSN2016 pada 8 Oktober lalu menyaksikan penyertaan kira-kira tujuh juta orang melibatkan 22,000 acara di seluruh negara, termasuk pembabitkan wira dan wirawati Olimpik dan Paralimpik negara yang memeriahkan program di Dataran Putrajaya selepas majlis perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hari Sukan Negara 2016, HSN2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain