suria

Terbuka China: Chong Wei Bertemu Lin Dan Di Separuh Akhir

Datuk Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR: Pertemuan yang dinanti-nantikan antara Datuk Lee Chong Wei dan bekas juara dunia, Lin Dan menjadi kenyataan apabila bakal bertarung di separuh akhir Terbuka China di Fuzhou, Sabtu.

Chong Wei yang kini berada pada ranking kesembilan dunia mengambil masa 52 minit untuk menundukkan pemain nombor dua dunia, Jan O Jorgensen dari Denmark, 21-11, 11-21, 21-10 di suku akhir hari ini, sekali gus melebarkan rekod pertemuan mereka kepada 14-1.

Kemenangan Chong Wei membolehkannya menempah pertemuan dengan musuh tradisinya Lin Dan yang terlebih dahulu menewaskan pemain ranking ke-15 dunia, Hu Yun dari Hong Kong 21-8, 10-21, 21-17 untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.

Sebagai rekod, Lin Dan memegang rekod pertemuan 25-9 ke atas Chong Wei termasuk kemenangan terbaru di Terbuka Jepun September lepas manakala kali terakhir Chong Wei menundukkan pemain kidal itu adalah di Terbuka Korea, Januari 2012.

Satu lagi pertemuan separuh akhir adalah antara juara dunia, Chen Long dari China yang menyingkirkan Viktor Axelsen dari Denmark 21-17, 21-13, dengan  San Wan Ho dari Korea Selatan yang menundukkan pemain tuan rumah, Shi Yuqi 21-19, 11-21, 21-18.

Sementara itu, harapan beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho untuk mara lebih jauh lebur selepas tunduk kepada pilihan utama dari Jepun, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi 21-17, 21-12 dalam masa 42 minit.

Artikel Sebelum

Keputusan Kelayakan Piala Dunia

Artikel Berikut

Artikel Lain