suria

Fifa Tak Terima Rayuan Kini Sah Impian De Gea Ke Real Madrid Musnah

Impian David de Gea untuk bermain dengan kelab idamannya, Real Madrid musim ini hancur musnah.

> Badan bolasepak dunia Fifa mengesahkan tidak terima rayuan daripada Real Madrid

> Impiannya untuk kembali ke bandar kelahirannya terpaksa ditangguh untuk semusim lagi

> Kertas tawaran berjumlah £29 juta yang dipersetujui tidak sempat diproses

> Rundingan serius yang berlangsung pada Isnin terlalu lewat untuk dimeteraikan

> United dipersalahkan kerana tersilap menghantar kertas format perpindahan

> Real dipersalahkan kerana bersikap acuh tak acuh

> Tapi kedua-dua belah pihak enggan mengaku salah atau dipersalahkan

> Seandainya perpindahan itu jadi, United akan memperolehi Keylor Navas penjaga gol Real sebagai pertukaran

> De Gea telah setuju untuk tandatangan kontrak jangka panjang selama enam tahun

> Dia kini harus tumpukan perhatian semula kepada Liga Perdana Inggeris

BADAN bolasepak dunia, Fifa mendedahkan yang mereka tidak menerima sebarang surat rayuan daripada Real Madrid agar membenarkan perpindahan penjaga gol Manchester United David de Gea diluluskan sehinggalah pintu perpindahan musim ini ditutup dengan rasminya pada Selasa.

Berita ini sekaligus mengecewakan De Gea yang bersungguh-sungguh mahu kembali ke bandar kelahirannya Madrid dan bermain dengan kelab impian Real.

Namun oleh kerana rundingan serius di antara kedua-dua buah kelab berlangsung lewat iaitu hanya pada Isnin dan selepas itu diikuti dengan beberapa kesilapan yang tidak disengajakan dalam proses menghantar surat tawaran dan persetujuan pembelian dan jualan, perpindahan yang dinanti-nantikan ini telah hancur berkecai.

Fifa dikatakan menunggu sama ada kedua-dua buah kelab ini akan mengemukakan rayuan rasmi agar satu pertimbangan khas dibuat bagi membolehkan perpindahan ini dimeterai dan diluluskan.

Sebuah stesen radia Sepanyol, COPE kemudian melaporkan yang Fifa mengesahkan tiada rayuan yang diterima bagi membolehkan rayuan itu diproses.

Menurut sumber dalaman yang dilaporkan oleh portal berita Britain, Mail Online, yang menjadi punca perpindahan ini gagal dimeteraikan tepat pada waktunya adalah kerana penjaga gol Real, Keylor Navas bersikap tidak pasti dalam memberikan kata putus untuk turut dimasukkan dalam urusan perpindahan De Gea.

Dia hanya memberi persetujuan pada saat-saat akhir yang melewatkan keseluruhan proses perjanjian ini yang menyebabkan akhirnya surat persetujuan United hanya tiba di Ibu Pejabat Real pada jam 11.59 malam Isnin iaitu seminit sebelum pintu perpindahan di Sepanyol ditutup secara rasmi.

Pada masa yang sama, ada laporan mengatakan tumpuan para eksekutif Manchester United bukan hanya pada proses perpindahan De Gea tetapi mereka juga sibuk menguruskan proses perpindahan dan pembelian pemain-pemain lain pada hari yang sama.

Antaranya Javier Hernandez ke Bayer Leverkusen dan Adnan Januzaj ke Borussia Dortmund.

Louis van Gaal pula menumpukan perhatian kepada usahanya untuk tidak terlepas membawa masuk bintang muda Perancis Anthony Martial dari Monaco - juga pada hari yang sama.

Semua ini dikatakan menyumbang kepada kepincangan perjalanan rundingan dan proses perpindahan De Gea ke Madrid.

Sepanjang-panjang tempoh pintu perpindahan ini masih terbuka, United merasakan yang mereka dipermainkan oleh Madrid. Pertama berhubung percubaan menggunakan Sergio Ramos untuk memancing De Gea dan selepas itu Madrid kelihatan terlali relaks tanpa menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan penjaga gol itu.

Ini terbukti apabila Madrid hanya memulakan langkah rasmi mereka pada hari terakhir sebelum pintu perpindahan di tutup di Sepanyol.

Ejen De Gea, Jorge Mendes menjadi orang tengah dan kedua-dua belah pihak pada dasarnya hanya berjaya mencapai kata putus menjelang tengah hari Isnin apabila Madrid bersetuju untuk membayar United £19 juta dan menawarkan Navas yang dianggarkan bernilai £10 juta sebagai sebahagian daripada pertukaran.

Menunggu Navas memberi kata putus untuk bersetuju dengan perjanjian ini telah memakan masa yang lebih panjang sebelum kedua-dua belah pihak dapat meneruskan proses menyediakan kertas kerja dan syarat-syarat perjanjian serta pembelian.

Kini De Gea yang menyertai United dari Atletico Madrid pada tahun 2011 terpaksa berputih mata dan kembali semula ke pusat latihan United di Carrington sebaik sahaja tugasnya besama skuad kebangsaan Sepanyol selesai hujung minggu ini.

Tidak diketahui apakah fikirannya cukup tenang untuk diturunkan mewakili Sepanyol dalam perlawanan kelayakan Kejohanan Negara-Negara Eropah itu.

Sama ada suka atau tidak, sebagai seorang pemain pro, De Gea terpaksa memberikan fokus kepada kelab lamanya ini untuk terus bermain dan tidak memanaskan bangku simpanan.

Lapan bulan adalah satu tempoh yang masih panjang untuk satu musim berakhir.

Tidak bermain hanyalah mengundang satu lagi malapetaka kepada reputasi, kecergasan dan nilai diri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain