suria

Pandelela Direhatkan Daripada Kejohanan Terjun Piala Asia 2015

KUALA LUMPUR: Jurulatih terjun kebangsaan Yang Zhuliang merehatkan Pandelela Rinong daripada menyertai kejohanan Terjun Piala Asia 2015 yang bermula Jumaat ini di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Zhuliang berkata beliau mengambil keputusan itu memandangkan Pandelela sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

"Kami ingin memberi peluang kepada penerjun lain melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Penerjun utama lain akan menyertai acara itu. Ia merupakan kejohanan penting bagi penerjun Malaysia untuk melayakkan diri ke Rio.

"Saya harap mereka akan melakukan yang terbaik, walaupun akan ada persaingan sengit daripada China dan Korea Selatan," katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional di sini, Selasa.

Malaysia sudah mendapat dua tempat dalam sukan Olimpik itu melalui Pandelela dan Ng Yan Yee ketika mereka menyertai Kejohanan Dunia di Kazan, Rusia apabila Pandelela menang pingat gangsa dalam acara 10m platform dan Yan Yee menduduki tempat kelapan dalam acara 3m Papan Anjal individu.

Berikutan ketiadaan Pandelela, Nur Dhabitah Sabri dan Loh Zhiayi akan bertanding dalam acara 10m platform wanita.

Selain Nur Dhabitah dan Zhiayi, Malaysia akan diwakili Ooi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman, Chew Yiwei, Muhammad Syafiq Puteh, Traisy Vivien Tukiet, Cheong Jun Hoong, Kam Ling Kar dan Lai Pui Yee pada kejohanan Terjun Piala Asia keenam itu.

Zhuliang berkata beberapa penerjun China yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Rio turut menyertai kejohanan ini kerana ingin mencari peluang untuk muncul sebagai juara.

Penerjun terbaik China, Tai Xiaohu dan Ji Siyu telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan itu.

Selain Malaysia, China dan Korea Selatan, lima negara lain iaitu Jepun, Indonesia, Qatar, Macau dan Uzbekistan akan menyertai kejohanan tiga hari itu.-- Bernama


Pandelela, Sukan Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain