suria

Siapa Minat Boleh Ambil Kerja Ini...

Jermain Defoe...Pemain Sunderland yang kini sedang mencari pembantu peribadi eksekutif untuk menguruskan hal ehwal peribadinya dan juga keluarga besarnya.

> Penyerang Sunderland iklan jawatan pembantu eksekutif

> Dia menawarkan gaji antara £50,000 hingga £60,000 setahun

> Jumlah itu adalah apa yang dia perolehi dalam seminggu sahaja

> Calon yang berjaya mestilah bersedia bekerja 24 jam sehari tujuh hari seminggu

> Mesti bersikap multi-tasking dan sanggup melakukan apa sahaja tugas

INI adalah satu tawaran yang menarik, lumayan dan eksklusif tetapi dengan satu syarat - sanggup untuk bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan bersedia untuk berlepas ke luar negara dengan notis yang singkat.

Pada masa yang sama anda juga wajib memastikan peti sejuk majikan anda penuh berisi setiap kali dia pulang ke rumah, memastikan laman webnya menarik, harus ke dobi untuk membawa pakaian kotor dan bersih kembali ke rumah, membuat tempahan tiket kapalterbang, hotel, kereta, teater dan wayang serta menjaga binatang peliharaan majikan. Adik, abang, kakak kepada majikan anda adalah juga majikan anda. Pendek kata anda haruslah bersedia membuat apa sahaja yang diminta.

Jika anda memenuhi kriteria ini semua, sila mohon kerja sebagai pembantu peribadi eksekutif kepada Jermain Defoe iaitu penyerang kelab Liga Perdana Inggeris, Sunderland yang juga bekas pemain antarabangsa England.

Jermain Defoe, 32, telah meletakkan iklan untuk jawatan 'pembantu peribadi eksekutif' besertakan sekali bidang tugas yang perlu dipenuhi oleh calon yang berjaya.

Defoe yang memperolehi gaji sekitar £60,000 seminggu kini menawarkan £50,000 hingga £60,000 setahun kepada mereka yang berjaya memenuhi kriteria itu semua.

Tetapi yang akan memeningkan kepala siapa sahaja yang berjaya memperolehi kerja ini nanti ialah, adik, kakak, abang dan ibu kepada Defoe adalah juga majikan kepada pembantu peribadi eksekutif ini. Bermakna anda mestilah juga berupaya memenuhi kehendak dan apa jua permintaan mereka selain majikan utama anda sendiri.

Masih berminat?

Jika jawapannya 'Ya', sila lihat bidang tugas anda yang seterusnya;

> Pastikan peti sejuk Defoe penuh setiap kali dia pulang ke rumah;

> Uruskan baju kotor dan bersih yang dihantar ke dobi;

> Uruskan bayaran upah tukang kebun dan pastikan laman rumah sentiasa rapi dan terurus;

> Pastikan kebersihan rumah;

> Menguruskan pakaian-pakaian berjenama yang harus dipakai oleh Defoe mengikut majlis;

> Harus bersikap fleksibel dan multi-tasking;

> Membuat tempahan penerbangan, hotel, percutian, termasuk untuk ahli keluarga yang lain;

> Mengingati tarikh-tarikh penting kawan rapat Defoe termasuk ulang tahun hari lahir;

> Menguruskan binatang peliharaan Defoe dan ahli keluarga yang lain;

> Menguruskan semua majlis-majlis rasmi, sosial, tempahan untuk menonton teater, konsert, wayang, muzikal untuk Defoe;

> Menguruskan makan tengah hari dan malam Defoe;

> Menguruskan waktu dan tempahan ke spa;

> Mesti bersedia untuk dipanggil bekerja bila-bila masa, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu;

> Mesti sanggup ke luar negara bersama majikan dengan notis yang singkat;

> Menguruskan laman sosial, web, twitter dan facebook Defoe;

> Perlu berupaya mencipta jenama bertaraf antarabangsa berasaskan nama Defoe;

> Membangunkan aplikasi khusus atas jenama Jermain Defoe;

> Berupaya mencari penaja utama untuk jenama Jermain Defoe;

Iklan itu juga turut menanya soalan sama ada calon-calon yang berminat sanggup dan selesa bekerja dengan "Individu dengan nilai pendapatan dan imej yang tinggi."

Jadi, jika anda berasa anda memenuhi kesemua kriteria di atas, jangan segan-segan untuk memohon.


Artikel Lain