suria

Muhammad Denial Haikkal Raih Emas Keempat Di GP Asia

KUALA LUMPUR: Pelumba trek remaja negara Muhammad Denial Haikkal Edy Suhaidee meneruskan kecemerlangan apabila menambah koleksi pingat emas pada siri kedua Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2015 yang berlangsung di Velodrom Kuala Lumpur, di sini, Jumaat.

Muhammad Denial Haikkal menambah dua emas dalam acara Scratch dan Keirin Lelaki Remaja menjadikan keseluruhan empat pingat emas dan satu perak pada penyertaan di kejohanan berkenaan.

Terdahulu, atlet berusia 17 tahun itu memenangi pingat emas dalam acara Elimination Race dan Points Race Lelaki Remaja manakala satu perak dalam acara Scratch Lelaki Remaja pada siri pertama kejohanan yang diadakan pada 18 dan 19 Ogos.

Dalam acara Scratch, Muhammad Denial Haikkal yang mewakili Majlis Sukan Negara menewaskan pencabar terdekatnya Muhammad Izat Tolha dari Majlis Sukan Negeri Selangor yang meraih perak manakala Mohamad Aiman Roslan dari Kelantan memenangi gangsa.

"Perlumbaan kali ini sebagai satu pendedahan kepada saya dan juga menjadi sebahagian daripada persiapan untuk menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Jepun tahun depan," katanya kepada Bernama.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil yang turut menyimpan hasrat menyertai skuad elit pada masa hadapan itu, meraih emas keduanya hari ini dalam acara Keirin Lelaki Remaja selepas terlebih dahulu mencecah garisan penamat menewaskan Muhammad Izat yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Pingat gangsa dimenangi pelumba dari Majlis Sukan Negeri Perlis, Muhammad Shahril Harun.

Dalam acara Elimination Race Lelaki Elit pula menyaksikan penguasaan daripada pelumba luar apabila wakil dari Uzbekistan, Timur Gumerov dan Ruslan Fedorov masing-masing meraih pingat emas dan gangsa.

Pelumba Indonesia Heksa Priya Prasetya pula memenangi perak, manakala pelumba Malaysia Sofian Nabil Omar Mohd Bakri hanya menamatkan perlumbaan di tempat keempat.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Lain