Impian Chong Wei Bergelar Juara Dunia Musnah, Tewas Kepada Chen Long - Sukan | mStar

Impian Chong Wei Bergelar Juara Dunia Musnah, Tewas Kepada Chen Long

JAKARTA: Impian bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2015 tidak kesampaian apabila kecundang kepada penyandang juara, Chen Long dari China di Istora Senayan di sini pada Ahad.

Kalau selama ini Istora Senayan menjadi gelanggang bertuah buat Chong Wei yang memenangi lima gelaran Terbuka Indonesia, kali ini ia menyaksikan impiannya menjulang gelaran dunia berkubur sebaik tewas 14-21, 17-21 dalam masa 65 minit.

Ini mungkin penampilan terakhir Chong Wei, 33, di Kejohanan Dunia kerana tidak mungkin beraksi pada edisi akan datang pada 2017 kerana ia tidak dipertandingkan pada tahun Sukan Olimpik dilangsungkan iaitu tahun depan.

Walaupun Chong Wei cuba bangkit dalam set kedua, namun ketangkasan Chen Long tidak dapat disangkal oleh Chong Wei.

"Saya akui Chen Long bermain dengan luar biasa pada hari ini, saya tidak dapat berbuat apa-apa walaupun telah lakukan yang terbaik dan mengubah rentak permainan," katanya.

Chong Wei berkata, dia memahami harapan tinggi yang diletakkan rakyat Malaysia tetapi menegaskan kekecewaan itu tidak akan membuatkannya putus asa dalam memburu satu lagi kejuaraan utama yang belum pernah dimilikinya iaitu pingat emas Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

"Saya tidak akan berputus asa, saya akan sertai beberapa kejohanan lagi tahun ini dan fokus sekarang ialah untuk layak ke Sukan Olimpik tahun depan dan saya akan cuba lakukan sesuatu jika berpeluang bertemu Chen Long lagi," katanya.

Untuk rekod, ini adalah final kejohanan utama kelima dalam tempoh lima tahun buat Chong Wei sejak 2011 yang menyaksikannya kecundang di tangan pemain China.

Bagi Kejohanan Dunia 2011 dan 2013, dia tewas kepada Lin Dan, begitu juga di final Sukan Olimpik 2012, manakala Chen Long menjadi penghalangnya di Kejohanan Dunia 2014 dan tahun ini. 

Begitupun pingat edisi 2014 ditarik balik selepas Chong Wei gagal dalam ujian doping yang menyaksikannya digantung lapan bulan.

Jurulatih negara, Hendrawan pula berkata, Chong Wei telah melakukan yang terbaik dan walaupun cuba memberi tekanan kepada Chen Long dalam set kedua, lawannya itu mempunyai semangat yang kental.

"Sekarang kita harus mencari jalan untuk meningkatkan lagi taktikal dan ia bukanlah satu perkara yang mudah, saya mohon maaf atas kekalahan ini," katanya.

Beliau berkata, taktik dan rentak permainan Chong Wei sentiasa berubah bagi membolehkannya menunduk lawan sejak pusingan awal Kejohanan Dunia itu tetapi pada hari ini, keadaan lebih memihak kepada Chen Long.

Sementara itu, Carolina Marin dari Sepanyol berjaya mempertahankan gelaran perseorangan wanita apabila menundukkan pemain India, Saina Nehwal 21-16, 21-19.

Kejohanan Dunia , lee Chong Wei

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain