suria

Pedro Dedahkan Mengapa Dia Terpaksa Tinggalkan Barcelona

Pedro memberi penghormatan kepada para penyokong Barcelona selepas mereka memenangi Piala Super Eropah menumpaskan Sevilla 5-4. Pedro menjaringkan gol kelima Barca sekaligus memberi kemenangan kepada kelabnya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

> Saya bukan mengejar wang

> Masalah saya ialah peluang yang tipis untuk bermain di Barca

> Pedro hanya menjadi pemain simpanan dalam perlawanan Piala Super Eropah

> Kini membuka ruang seluas-luasnya untuk Man Utd mendapatkannya

PEMAIN Barcelona, Pedro mengumumkan apa yang ditunggu-tunggu selama ini oleh Manchester United tetapi sebaliknya sesuatu yang tidak mahu didengar oleh penyokong-penyokong Barcelona - dia memutuskan untuk meninggalkan Sepanyol.

Walaupun jaringannya telah membawa kemenangan Barcelona menumpaskan Sevilla 5-4 untuk merebut Piala Super Eropah pada malam Selasa di Georgia tetapi nampaknya itu merupakan kali terakhir dia menyarung jersi keramat kelab dari Sepanyol itu.

Pedro memberitahu stesen televisyen Catalan: "Ini adalah situasi yang sangat-sangat sukar bagi saya. Saya tidak mahu meninggalkan kelab ini tetapi saya harus mengambil kira peluang saya untuk bermain buat masa ini. Sejak beberapa tahun yang lalu keadaan ini tidak berubah dan saya mahukan perubahan."

Kekecewaan Pedro dapat dilihat dengan jelas ketika pasukannya naik ke pentas untuk menerima pingat dan Piala Super Eropah.

Ketika rakan-rakan sepasukannya meraikan kemenangan mereka, Pedro berdiri di sudut hujung sekali dan termenung ke arah padang walaupun dia lah yang sepatutnya diraikan sebagai pemain yang menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan itu.

Pedro hanya sekadar menjadi pemain gantian di separuh masa kedua. Dan ini hanya menambah kekecewaannya.

Sebaik sahaja perlawanan itu tamat, Pengarah Bolasepak Barcelona, Robert Fernandez mengumumkan kepada para wartawan yang Pedro telah membuat permintaan rasmi untuk meninggalkan kelab tersebut sebelum pintu perpindahan berakhir 1 September nanti.

Ramai yang mengaitkan perpindahan Pedro disebabkan oleh wang tetapi pemain antarabangsa Sepanyol itu menafikannya.

"Ini bukan soal wang. Jika ada yang mengatakan ia adalah kerana wang, maka saya akan terasa hati. Tapi ini adalah soal waktu dan ruang yang terbuka untuk saya bermain di Barca," ujarnya.

Kini dengan keputusan muktamad Pedro untuk meninggalkan Barca, peluang United untuk mendapatkannya terbuka luas.

United hanya perlu memenuhi klausa perlepasan dalam kontrak Pedro berjumlah £22 juta.

Artikel Lain