suria

Misi Hidup Mati Harimau Kumbang Dalam Tiga Perlawanan

Aksi pemain-pemain Harimau Kumbang (jersi biru) ketika bertemu Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Bandaraya pada Selasa.

GEORGE TOWN: Pasukan Pulau Pinang dalam misi hidup-atau-mati bagi memastikan kemenangan dalam tiga lagi perlawanan Liga Perdana kerana kekalahan bermakna impian mereka untuk bermain dalam Liga Super pada musim hadapan tidak kesampaian.

Jurulatih Pulau Pinang Jacksen Tiago berkata kemenangan tiga perlawanan itu amat penting bagi pasukan itu untuk layak ke Liga Super secara automatik.

Beliau berkata pasukan harimau kumbang itu akan dipersiapkan bagi memastikan kesemua pemain cergas dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi misi hidup-atau-mati itu.

"Selepas semua kerja keras, saya berharap pemain saya akan memberikan persembahan yang terbaik dalam tiga perlawanan nanti untuk memastikan pasukan ini mencapai matlamat untuk layak ke Liga Super musim hadapan," beliau memberitahu wartawan di sini.

Pasukan harimau bintang yang merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan yang bermain dengan 10 orang malam tadi, menghadapi laluan sukar menghadapi Sabah Jumaat ini dan DRB Hicom pada 18 Ogos, sebelum bermain perlawanan terakhir musim ini di gelanggang lawan, UiTM FC pada 21 Ogos ini.  

Bagaimanapun, Thiago kekal optimis bahawa pasukannya masih berpeluang untuk layak ke Liga Super memandangkan perbezaan mata antara Pualu Pinang dan pasukan di tangga kedua, T-Team hanyalah dua mata.

"Saya selalu percaya kami memiliki peluang untuk layak ke Liga Super musim hadapan tetapi setelah mengutip tiga mata daripada perlawanan menentang Negeri Sembilan, peluang itu semakin besar, " katanya.

Mengenai perlawanan dengan Negeri Sembilan, beliau berkata anak buahnya agak keletihan selepas beraksi dalam perlawanan menentang Johor Darul Takzim II dan pendahulu Liga Perdana, Kedah.

"Saya fikir selepas dua perlawanan dalam masa lima hari, pemain keletihan tetapi mereka mampu bertahan selepas mendahului permainan. Biarpun bermain dengan hanya 10 orang dalam babak kedua, Negeri Sembilan masih mencipta banyak peluang tetapi kami lebih bersedia untuk mempertahankan jaringan awal oleh Mohd Faiz Subri," katanya.

Beliau berkata pada masa ini pemain perlu menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang Sabah, Jumaat ini dan memastikan mereka tidak mengecewakan para penyokong di tempat sendiri.

Harimau kumbang kini menduduki tangga ketiga dengan 36 mata dan berada enam mata di belakang pendahulu liga, Kedah.

Harimau Kumbang, Liga Perdana

Artikel Lain