suria

Wawancara Khas Dengan Louis Van Gaal

Louis van Gaal

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal telah memberi temuramah kepada para wartawan Inggeris yang mengikuti rombongan kelab tersebut dalam siri jelajah pra-musim di San Jose, Amerika Syarikat hujung minggu baru-baru ini.

Temuramah itu berlangsung beberapa jam selepas United menumpaskan Barcelona 3-1 dalam siri jelajah tersebut.

Dalam temuramah itu juga, Van Gaal telah bercakap secara berterus terang berhubung masa depannya bersama kelab tersebut, pandangannya tentang pencapaian musim lalu dan juga mengenai beberapa pemain utamanya sendiri termasuklah mengapa dia melepaskan Robin van Persie kepada kelab Turki, Fenerbace.

Ikuti transkrip wawancara tersebut sepertimana yang dipetik dan diterjemahkan dari portal berita Mail Online:

LOUIS, ANDA PERNAH BERKATA, SKUAD UNITED YANG ANDA WARISI ADALAH SKUAD YANG RETAK MENUNGGU BELAH. ADAKAH ANDA MERASAKAN MASALAH TERSEBUT TELAH DIBAIKI SEKARANG?

Apa yang boleh saya katakan ialah, kami kini mempunyai skuad yang lebih seimbang sekarang berbanding musim lalu yang menyaksikan ramai pemain terpaksa bermain di posisi yang berlainan. Kini semua posisi telah ditambah dan diseimbangkan jauh lebih baik berbanding musim lalu. Selepas semusim bersama mereka, para pemain telah memahami falsafah yang cuba diterapkan oleh saya kepada mereka. Tapi ini adalah proses yang berterusan kerana dengan ketibaan beberapa pemain baru, proses penerapan falsafah bolasepak yang ingin diterapkan perlu dilakukan semula berulang kali. Ia adalah sebahagian daripada proses pembangunan bolasepak.

JIKA DIBANDINGKAN DENGAN CHELSEA, JUARA MUSIM LALU, TERDAPAT JURANG YANG SANGAT BESAR DARI SEGI PUNGUTAN MATA. ADAKAH UNITED SUDAH MEMILIKI KEUPAYAAN YANG CUKUP UNTUK MERAPATKAN JURANG TERSEBUT?

Jurang yang besar itu berlaku kerana United bermula lembab pada awal musim. Itu sahaja.

Morgan Schneiderlin, antara muka baharu yang dibawa masuk Van Gaal.

JADI UNITED LEBIH BERSIAP SIAGA UNTUK PERMULAAN MUSIM BARU INI NANTI?

Saya tidak tahu. Ia mungkin boleh berlaku lagi tetapi setiap hari saya berpesan kepada pemain-pemain saya: "Perlawanan liga pertama kita menentang Tottenham Hotspur adalah yang paling penting musim ini." Prestasi menentang Barcelona yang menyaksikan kami menang 3-1 adalah jauh lebih penting daripada keputusan perlawanan itu. Tak dapat dinafikan kemenangan tersebut adalah menakjubkan tetapi pada masa yang sama United juga bernasib baik.

SETAKAT INI ANDA TELAH MELEPASKAN 17 PEMAIN DAN MEMBAWA MASUK 10 PEMAIN BARU. ADAKAH ANDA MENJANGKAKAN YANG ANDA PERLU MELAKUKAN PERUBAHAN YANG SEBEGITU BESAR SEBELUM INI?

Saya adalah seorang yang percaya kepada pembaharuan. Kelab ini memerlukannya dalam usaha untuk mengekalkan semangat yang tinggi dan juga untuk memberi cabaran baru kepada keseluruhan anggota skuad. Saya sedar perubahan seperti ini tidak pernah berlaku dalam kelab ini. Tapi perlu diingat, ketika saya tiba, kelab ini mempunyai terlalu ramai pemain tua - 35, 34 tahun - jadi mereka perlu diganti. Ia sebenarnya sesuatu yang agak sukar untuk saya kerana saya masih baru di sini tetapi saya tiada pilihan saya terpaksa melakukannya juga.

BOLEHKAH ANDA CAPAI APA YANG ANDA SASARKAN DALAM TEMPOH TIGA TAHUN ANDA DI SINI?

Saya berharap boleh. Setidak-tidaknya menjadi juara liga sekali. saya telah meletakkan sasaran peribadi yang saya akan mengakhiri karier saya dengan menjadi juara di empat liga yang berlainan. (Van Gaal telah pun berjaya menjuarai Liga Belanda, Liga Jerman dan Liga Sepanyol).

Memphis Depay.

BOLEH ANDA JELASKAN MENGENAI PEMBELIAN PEMAIN-PEMAIN BARU ANDA?

Kami di Manchester United hanya membeli pemain-pemain yang kami rasa berupaya untuk menyumbang kepada kehendak pasukan. Anda boleh menyenaraikan nama mana-mana pemain yang anda suka tetapi kami di sini tidak boleh membuat keputusan berasaskan apa yang orang lain suka. Ini adalah satu proses yang sukar. Ia melibatkan pemain, kelab dan faktor kewangan. Ia tidak semudah yang anda semua fikirkan. Anda telah menyaksikan bakat pemain seperti Memphis Depay, dan pada usia seperti dia, bakat yang dia miliki adalah sesuatu yahg luar biasa dan boleh digilap. Bakat dia diakui oleh media massa dan juga siapa sahaja yang pernah melatihnya. Matteo Darmian adalah dari sebuah kelab yang kecil tetapi dia digilap oleh akademik remaja AC Milan. Dia membangun agak perlahan dalam kariernya tetapi dia mempunyai keupayaan untuk membangun bersama kami. Bastian Schweinsteiger adalah pemain berpengalaman dengan kualiti yang tinggi. Tiada siapa dapat menafikannya. Morgan Schneiderlin telah membuktikan yang dia adalah seorang pemimpin semulajadi ketika di Southampton. Kini dia bersama kami dan saya mempunyai keyakinan ke atas daya kepimpinannya. Sebab itulah kami membelinya. Tetapi tidak selalu juga apa yang saya inginkan dapat dipenuhi.

Romero, pemain kelima menyarung jersi United.

TETAPI TIDAK SEMUA JURULATIH AKAN MEMBENARKAN PEMAIN SEPERTI VAN PERSIE MENINGGALKAN MEREKA?

Itu juga adalah sebahagian daripada proses yang saya sebutkan tadi. Ia adalah hasil daripada apa yang kami semua lalui sepanjang musim. Anda perlu melihat dari semua aspek. Ramai yang berkata yang Van Persie adalah pemain kesukaan saya dan saya sentiasa memberi keutamaan kepadanya dan mungkin itu juga benar. Tetapi pada akhirnya, sebagai pengurus, anda perlu membuat satu keputusan dan penilaian yang adil, siapakah pemain yang telah memberi sumbangan paling besar yang akhirnya meletakkan United di tangga keempat liga. Akhirnya satu keputusan perlu dibuat dan keputusan itu mestilah berasaskan fakta dan bukannya sebab lain.

ADAKAH INI BERMAKNA MUSIM DEPAN VAN PERSIE TIDAK BOLEH MENYUMBANG SECUKUPNYA DI BAHAGIAN SERANGAN?

Kami masih mempunyai pilihan iaitu Wayne Rooney. Musim lalu semua orang mengkritik yang Rooney patut bermain sebagai penyerang utama dan sekarang anda bercakap mengenai Van Persie pula.

TETAPI JIKA ROONEY TERCEDERA, BAGAIMANA?

Anda telah melihat bagaimana Januzaj menjaringkan gol (menentang Barcelona) dan dalam dua minggu lagi, Chicharito akan kembali atau mungkin saya akan membawa masuk seorang lagi penyerang baru.

Matteo Darmian bakal memperkuat United pada aksi Liga Perdana Inggeris musim baharu.

ANDA KATA MEMBELI PEMAIN BARU BUKAN MUDAH TETAPI JIKA ANDA BERJAYA MEMBELI SEORANG PEMAIN BARU APAKAH INI BERERTI IA MEMADAI UNTUK MEMBAWA KELAB INI KE MANA YANG ANDA SASARKAN?

Ia bergantung bagaimana dengan prestasi Januzaj atau Chicharito atau (James) Wilson dan Depay juga boleh bertindak sebagai penyerang. Ini semua sebahagian daripada proses yang saya maksudkan.

MAMPUKAH ROONEY LAKUKAN UNTUK ANDA SEPERTIMANA SERGIO AGUERO LAKUKAN UNTUK MANCHESTER CITY ATAU DIEGO COSTA UNTUK CHELSEA?

Rooney telah memberi jaminan yang dia akan menjaringkan sekurang-kurangnya minimum 25 gol. Musim lalu Rooney hanya menjaringkan 12 gol manakala Van Persie pula 10 gol. Jadi apabila saya mempunyai penyerang yang mampu menyumbat 25 gol dan Rooney mampu melakukannya, jadi saya harus berpuashati.

APAKAH ANDA MEMERLUKAN PENYERANG YANG MAMPU MENYUMBAT 25 GOL SEMUSIM UNTUK MUNCUL SEBAGAI JUARA LIGA?

Bukan sekadar Rooney sahaja yang perlu menjaringkan gol tetapi pemain-pemain lain juga dan gawang tidak harus melepaskan banyak gol.

SEMUA ORANG MELIHAT JANUZAJ LEBIH SEBAGAI SEORANG PEMAIN SAYAP TETAPI ANDA MELIHAT DIA SEBAGAI SEORANG PENYERANG.

Saya telah memberi dia peluang untuk melakukannya sebagai seorang penyerang dan dalam perlawanan menentang Barcelona dia telah menunjukkan yang dia mempunyai kualiti sebagai seorang penyerang buat pertama kali.

ARSENE WENGER MENDAKWA MANCHESTER UNITED KINI TELAH MEMBELI KEGEMILANGAN, SEOLAH-OLAH ANDA SEBAGAI SEORANG JURULATIH YANG MEMPUNYAI FALSAFAH TUNDUK KEPADA KUASA WANG.

Saya tidak pernah memberi komen mengenai rakan sejawatan saya dan tidak akan memberikannya sekarang.

APAKAH KEUTAMAAN SEKARANG UNTUK MUNCUL SEBAGAI JUARA LIGA SECEPAT YANG MUNGKIN?

Keutamaan sekarang ialah untuk berjuang bagi mendapatkan kejuaraan. Sama ada cepat atau tidak adalah tidak wajar untuk menyatakannya sekarang.

APAKAH TERDAPAT SEBARANG KEMUNGKINAN YANG ANDA AKAN MELEPASKAN JAWATAN ANDA SEPARUH JALAN JIKA GAGAL MENCAPAI APA YANG DISASARKAN

Ya, saya tidak menolak kemungkinan itu terjadi.

JIKA LEMBAGA PENGARAH MENAWARKAN PELANJUTAN KONTRAK ADAKAH ANDA AKAN MENERIMANYA?

Susah nak cakap. Tapi saya dah memberitahu isteri saya ada kemungkinan yang kami akan terus berada di Manchester untuk seketika lagi. Dahulu saya pernah berjanji yang saya akan bersara pada usia 55 tahun tetapi dua minggu dari sekarang saya akan berusia 64 tahun dan saya masih menguruskan sebuah kelab bolasepak.

ADAKAH INI MERUPAKAN SATU KETAGIHAN?

Tidak. Saya boleh saja beredar keluar dari urusan bolasepak dan saya pernah melakukannya sebanyak dua kali sebelum ini. Walaupun tidak lama tetapi ia merupakan tempoh rehat yang baik bagi saya. Dan saya memiliki sebuah rumah bagaikan syurga di Portugal. Jadi saya boleh bersara dari bolasepak sepenuhnya dan menikmati kehidupan dengan melakukan perkara lain.

TAPI JIKA ANDA MASIH BELUM MEMENANGI KEJUARAAN LIGA DALAM TEMPOH DUA TAHUN LAGI APAKAH ANDA SANGGUP MENINGGALKAN TUGAS INI?

Jika itu berlaku ia adalah sesuatu yang amat menyedihkanlah! Dan ketika itu saya akan dipecat oleh Manchester United (ketawa).

UNITED TELAH MEMBERIKAN SETIAP APA YANG ANDA MINTA DAN INGINKAN. TIDAKKAH ITU MENAMBAHKAN LAGI TEKANAN UNTUK ANDA MENGHASILKAN KEJAYAAN?

Tidak. Tidak sepertimana yang anda fikirkan. Sudah tentulah saya mempunyai pengaruh tertentu tetapi pada masa yang sama saya juga perlu mendengar apa yang ingin dikatakan oleh lembaga pengarah kelab, kemampuan kelab dan sebagainya. Yang pasti, tekanan yang saya sendiri berikan ke atas diri saya jauh lebih besar daripada apa yang diberikan oleh kelab saya. Saya meletakkan cabaran dan cita-cita tertentu dan saya telah membuktikan falsafah permainan saya di semua negara dan kelab yang pernah saya berkhidmat. Orang berkata saya mempunyai begitu banyak tenaga dan memang saya memiliki tenaga yang banyak.

APAKAH SKUAD YANG ADA SEKARANG BOLEH DIKATAKAN SKUAD LOUIS VAN GAAL?

Tidak. Belum boleh lagi. Kenapa? Kerana pada keseluruhannya keseimbangan yang ingin dicapai masih belum sepenuhnya lagi. Kreativiti masih belum cukup. Gol kedua ketika menentang Barcelona sangat cantik. Itu yang kita nak. Oleh yang demikian, skuad ini memerlukan pemain yang kreatif. Sebagai contoh Chelsea ada Eden Hazard, Willian dan Oscar. Ketiga-tiga mereka merupakan pemain yang kreatif apatah lagi kalau bermain menentang pasukan yang suka bertahan sepanjang perlawanan.

UNITED TIDAK MEMILIKI KREATIVITI ITU SEKARANG?

Kita mencari kreativiti yang lebih baik. Sekarang kita ada Wayne, Mata, Depay, Young, Januzaj, Wilson, Herrera. Kita harus membuat perbandingan. Young misalnya fantastik sepanjang musim lalu tetapi dia bukan Neymar dan hakikatnya kita terpaksa bersaing dengan kelab yang mempunyai pemain seperti Neymar. Chelsea ada Hazard. City ada Aguero. Barca ada Messi, Neymar dan Suarez. United juga perlu ada pemain-pemain setaraf itu jika hendak bersaing dengan mereka.

BOLEH KITA BERCAKAP MENGENAI ANGEL DI MARIA?

Saya lebih suka tidak bercakap mengenainya.

Bastain Schweinsteiger.

ADAKAH PENCARIAN ANDA MASIH BELUM BERAKHIR?

Sudah tentu belum selesai. Dengan kehadiran Schneiderlin, Schweinsteiger, Depay dan Darmian, kedudukan kita akan jauh lebih baik dari musim lalu. Tetapi pencarian kita kepada pemain kreatif tidak harus terhenti setakat itu sahaja. Kita harus membawa masuk pemain-pemain kreatif lagi.

BAGAIMANA DENGAN CRISTIANO RONALDO. APAKAH ANDA MELIHAT YANG DIA AKAN KEMBALI SEMULA KE OLD TRAFFORD?

Itu tidak mustahil tetapi hakikatnya mungkin tidak.

KENAPA TIDAK?

Sebab ia bukan sahaja melibatkan Ronaldo tetapi juga kelabnya sekarang dan juga Manchester United dan sejauh mana Manchester United bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkannya semula.




Artikel Sebelum

Artikel Lain